fbpx
Amalia Qasdina bersama ibunya yang diserang strok serta ahli keluarga pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 di Serdang, semalam. Foto FACEBOOK UPM

‘Saya terpaksa tinggalkan kuliah seminggu, jaga ibu sakit strok’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) pernah beberapa kali terfikir hendak berhenti belajar selepas tidak hadir ke kelas selama seminggu kerana mahu menjaga ibunya yang diserang strok.

Ujian berat itu dihadapi oleh Amalia Qasdina Kamal Azrul, 25, dan ketika itu dia perlu memilih untuk berada di sisi ibunya, Norhaliza Khalily, 48, atau mengutamakan pengajian yang sudah hampir ke penghujung.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia hampir berputus asa apabila ibunya disahkan mengalami ‘minor stroke’ ketika keluarga sedang menyambut Aidiladha.
Katanya, kejadian itu sewaktu dia di tahun ketiga pengajian dan ia mengubah rutin hariannya sebagai seorang pelajar kepada tanggungjawab besar menjaga ibu di hospital.

“Pada waktu rakan-rakan lain menyiapkan tugasan akhir semester, saya terpaksa meninggalkan kuliah selama seminggu untuk menjaga ibu di Hospital Kuala Lumpur dan kemudian di pusat rehabilitasi. Dalam masa sama, saya tetap perlu menyiapkan tugasan serta projek tahun akhir. Kisah itu dikongsikan oleh UPM dalam satu hantaran Facebook.

“Tekanan pada waktu itu memang sangat berat. Saya beberapa kali terfikir untuk berhenti belajar kerana tidak hadir ke kelas selama seminggu dan perlu mengejar tugasan kuliah dalam keadaan emosi yang tidak stabil,” katanya pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49, di Serdang semalam.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan itu berkata, dia dan kembarnya menyusun jadual secara bergilir-gilir untuk menjaga ibu, manakala bapanya, Kamal Azrul Abd Manaf, 48, dan adik-adik yang lain datang melawat setiap minggu.

Tambah Amalia Qisdina, sepanjang tempoh berkenaan, gadis itu pernah berada pada satu tahap yang mana dia seolah-olah langsung tidak mampu mengimbangi tuntutan akademik dengan keperluan ibu yang memerlukan perhatian penuh.

Katanya, di saat dia hampir tersungkur, pensyarah dan rakan-rakan hadir memberikan sokongan yang menjadi ‘talian hayat’ untuknya terus bertahan.

“Pensyarah minta saya fokus pada ibu dahulu dan mereka bantu saya dengan berkongsi bahan pembelajaran yang tertinggal. Tanpa sokongan, saya mungkin tidak mampu bertahan.

“Pada saat saya rasa dunia seakan runtuh, saya belajar bahawa masih ada tangan-tangan mengangkat saya kembali. Saya ingin ingatkan rakan-rakan yang diuji dengan kesakitan keluarga atau tekanan hidup, jangan tanggung semuanya sendirian.

“Terima keadaan dengan sabar, cuba buat yang termampu dan jangan malu mendapatkan sokongan daripada pensyarah, rakan atau kaunselor,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI