KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang lelaki warga emas untuk menunaikan solat subuh berjemaah di masjid tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Batu Hampar, Manir di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Awang Mat Amin, 79, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Awang yang menunggang motosikal Honda EX5 dikatakan dalam perjalanan ke Masjid Kampung Batu Hampar di sini dari rumahnya sekitar kawasan berhampiran.
“Kemalangan dikatakan berlaku selepas motosikal dinaiki mangsa dikatakan tiba-tiba keluar simpang lalu gagal dielak oleh sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang jururawat.
“Sewaktu kejadian, jururawat wanita berusia 36 tahun tersebut dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah pusat perubatan di Gong Badak, Kuala Nerus dari rumahnya di Kuala Berang, Hulu Terengganu,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, impak rempuhan tersebut menyebabkan Awang tercampak ke jalan raya.
Beliau berkata, pemeriksaan pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan lelaki warga emas tersebut telah meninggal dunia dan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














