LUMUT – Suspek kes bunuh seorang warga emas berusia 78 tahun di Kg. Koh, Sitiawan dekat sini pada Sabtu lalu direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman ke atas lelaki berusia 49 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.
Terdahulu, suspek yang merupakan seorang penganggur tiba di Mahkamah Majistret Seri Manjung kira-kira pukul 8.45 pagi dengan mengenakan pakaian lokap.
Media sebelum ini melaporkan, suspek yang dipercayai memecah masuk rumah mangsa di Kg. Koh, Sitiawan dan menyebabkan kematiannya menggunakan cangkul ditahan polis di Jalan Pinang Raja, Seri Manjung semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, mangsa ditemui ahli keluarganya sebelum mereka melaporkan kepada pihak polis.
Difahamkan, suspek mempunyai 38 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah, samun dan mendatangkan kecederaan kepada orang lain. – KOSMO! ONLINE














