SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan telah mengambil tindakan terhadap 11,241 kenderaan perdagangan sejak Januari hingga 29 November lalu dengan 283 kenderaan membawa lebihan muatan antara kesalahan paling banyak dikesan.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sejak awal tahun ini, sebanyak 44,964 kenderaan perdagangan diperiksa manakala 34,848 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan dengan kesalahan paling tinggi direkodkan membabitkan Notis JPJ (P) 22 sebanyak 20,389.
“Notis 61(1) Arah Periksa sebanyak 4,975, Notis Larangan Penggunaan Kend-PG1 (4,763), Notis Panggilan Temu Siasat-114 (808), Notis Arah Timbang (3,080) dan lain-lain notis (833). Pelaksanaan Op Perang Lebih Muatan sejak Oktober lalu merekodkan penurunan 19 peratus dalam pengeluaran notis, berbanding 23 peratus dalam tempoh tiga bulan sebelum,” katanya ketika ditemui pada Operasi Perang Lebih Muatan di persimpangan jalan kuari Labu–Nilai, hari ini.
Hanif berkata, dalam operasi sama, sebanyak 7,492 kenderaan perdagangan diperiksa dan daripada jumlah itu sembilan kenderaan disita di bawah Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta kini dalam proses lucut hak di mahkamah. – KOSMO! ONLINE














