KUALA LUMPUR – Gaya hidup idak sihat, masalah kesihatan reproduktif, sering berbasikal dan lewat mendapatkan rawatan dikenal pasti antara punca utama semakin ramai pasangan muda hari ini berdepan kesukaran untuk memperoleh zuriat.
Ketua Unit Subfertiliti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Wan Hilya Munira Mustapha berkata, isu ketidaksuburan melibatkan faktor lelaki, wanita, kedua-dua pasangan serta sebahagian kecil kes yang tidak diketahui punca.
Beliau berkata, secara pecahan, kira-kira 30 hingga 40 peratus kes melibatkan faktor suami sahaja, 30 peratus faktor isteri sahaja, manakala 20 hingga 30 peratus membabitkan kedua-dua pasangan dan sekitar 10 peratus lagi puncanya tidak dapat dikenal pasti.
“Dalam masalah kesuburan, selalu masyarakat letak beban pada isteri sahaja, tetapi faktor penyumbang ketidaksuburan itu adalah daripada dua-dua belah pihak. Ada lelaki atau wanita datang umur 20-an datang pun dah ada masalah sperma dan ovulasi.
“Seperti wanita, ramai sekarang yang bekerjaya atau ingin menumpukan kepada pelajaran dahulu jadi berkahwin lewat usia 30-an. Jadi kesuburan akan merosot ketara selepas umur 35 tahun, selain masalah seperti anovulasi (contohnya PCOS), endometriosis, kerosakan tiub falopio serta faktor rahim,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Dr. Wan Hilya berkata, bagi lelaki pula kebanyakan mereka berhadapan dengan masalah kuantiti dan kualiti sperma yang berpunca daripada penyakit kronik seperti kencing manis dan tiroid, berat badan obesiti, serta merokok.
“Hasil dapatan kita, 40 peratus lelaki yang hadir ke klinik untuk mendapatkan rawatan adalah perokok. Selain itu, gaya hidup yang suka sertai sukan ekstrem seperti mengayuh basikal pun akan memberi kesan kepada penghasilan sperma,” katanya.
Beliau menjelaskan, faktor gaya hidup lain seperti tidur tidak teratur dan stres berpanjangan juga boleh menjejaskan kualiti sperma dan ovum, sekali gus mengurangkan peluang kehamilan.
Semalam Kosmo! melaporkan lebih 7,000 pasangan sukar mendapat zuriat setelah lebih lima tahun berkahwin dirujuk ke LPPKN.














