fbpx
Adib Sufyan (tengah) bersama ibu bapanya selepas menerima surat tawaran menunaikan umrah pada Program Penyampaian Intensif YaPEIM di Surau Umar al-Siddiq, SMKA Tok Bachok, Bachok hari ini. FOTO TOREK SULONG

5 bulan hafaz 30 juzuk al-Quran, pelajar tingkatan satu dapat tajaan umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok di sini tidak menyangka usaha gigihnya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya lima bulan dan sembilan hari membuahkan rezeki besar apabila menerima tajaan menunaikan umrah pada minggu depan.

Adib Sufyan Suhaimi, 13, sangat teruja apabila Qashwa Travel Sdn. Bhd. menaja sepenuhnya perjalanan umrah yang bermula 9 hingga 17 Disember sebagai penghargaan atas pencapaian tersebut.

“Hasrat saya untuk menunaikan umrah pada usia muda akhirnya tercapai. Allah SWT mempermudah urusan selepas saya nekad menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh yang singkat

“Saya pasang niat dan tekad kuat untuk mengingati 30 juzuk al-Quran. Saya juga mengelak daripada makan makanan masam kerana dikatakan menjejaskan hafalan.

“Saya juga mengulangi hafazan dua hari satu juzuk mengikuti jadual halaqah dan tasmik termasuk pada waktu malam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Penyampaian Insentif YaPEIM di Surau Umar al-Siddiq, SMKA Tok Bachok di sini hari ini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, bapa, Suhaimi Omar, 43, dan ibunya, Norhaslina Hamid, 43, menjadi pendorong utama kejayaannya.

Sementara itu, Pengurus YAPEIM Kelantan, Che Nor Azila Che Ghani berkata, pihaknya julung kali menyalurkan sumbangan RM45,000 sebagai insentif hafazan kepada 200 pelajar SMKA Tok Bachok tahun ini.

“Insentif itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu pelajar yang berjaya hafaz satu hingga 10 juzuk menerima wang tunai RM150 dan menghafaz 30 juzuk pula RM300.

“Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membabitkan enam sekolah di Kelantan. Ia merupakan teras bantuan dalam pembangunan pendidikan, kemasyarakatan dan ekonomi komuniti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN