PETALING JAYA – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), baru-baru ini meraih Anugerah Teknologi dan Inovasi Cemerlang 2025 oleh British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) Business Excellence Awards 2025 atas inisiatif penjagaan kesihatan pintarnya.
Anugerah ini diberikan kepada organisasi yang berjaya memperkenalkan penyelesaian baharu dengan bantuan teknologi digital, inovatif atau teknologi disruptif, khususnya dalam tempoh tiga tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Seow Vei Ken berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima Anugerah Teknologi dan Inovasi Cemerlang tersebut.
“Pendekatan kami adalah untuk menerapkan teknologi canggih baharu dan mendigitalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan kami meningkatkan pengalaman pesakit, menambah baik kecekapan operasi serta mempertingkat persekitaran kerja untuk pasukan klinikal kami.
“Dengan teknologi kesihatan yang berkembang dengan cepat, pengiktirafan ini menguatkan lagi komitmen kami untuk terus meningkatkan standard dan terus kekal menerajui penjagaan kesihatan pintar di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SMC secara konsisten memperkenalkan pelbagai teknologi dan inovasi terkini, termasuk robotik, perubatan ketepatan dan automasi, di samping meningkatkan usaha pendigitalan dan integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam operasinya.
Antara teknologi yang diperkenalkan adalah sistem pemprosesan spesimen makmal mikrobiologi automatik pertama di Malaysia, Walk Away Sample Processor (WASP).
Selain itu Sistem Maklumat Hospital berasaskan awan (cloud based) dan Rekod Perubatan Elektronik (HIS/EMR) dengan Computerised Physician Order Entry (CPOE), Sistem Automasi Farmasi Pesakit Luar (OPAS) serta Annalise AI untuk pengimejan radiologi turut diperkenalkan.
SMC turut menggunakan teknologi robotik canggih dalam pelbagai perkhidmatan klinikal, termasuk Mako SmartRobotics, ROSA® Knee System dan VELYS™ Robotic Assisted Solution bagi menyokong pelbagai prosedur penggantian sendi.
Hospital itu juga menjadi yang pertama di Asia Tenggara memasang Sistem Pembedahan Tulang Belakang AiBLE secara komersial untuk prosedur tulang belakang berketepatan tinggi.
SMC turut menjadi hospital pertama di Malaysia yang menggunakan da Vinci Xi Robotic Surgical System bagi prosedur invasif minimum untuk pelbagai kepakaran klinikal.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi kejayaan SMC sebagai Hospital Pintar Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek (Newsweek’s World’s Best Smart Hospitals 2026), apabila ia disenaraikan sebagai antara 350 hospital terbaik dunia dan teratas di Malaysia.
Setakat tahun ini, SMC menempatkan lebih daripada 300 pakar perubatan tetap, menawarkan 80 bidang kepakaran dan disokong oleh 28 Pusat Kecemerlangan.
Dilancarkan pada tahun 2018, BMCC Business Excellence Awards 2025 menghargai kerjasama komersial yang kukuh antara United Kingdom (UK) dan Malaysia, serta mengiktiraf prestasi terbaik perniagaan kedua-dua negara dalam pelbagai kategori anugerah. – KOSMO! ONLINE













