KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM500 juta bagi membaik pulih infrastruktur awam yang rosak akibat banjir di beberapa negeri sejak minggu lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan telah diarahkan menjalankan penilaian kerosakan serta memulakan kerja pembaikan tanpa berlengah.
“Ini termasuk sekolah, klinik, kemudahan asas dan jalan. Bagi mempercepatkan proses, saya luluskan RM500 juta untuk membaiki kerosakan akibat banjir,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.
RUU itu sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat semalam, selepas dibentangkan pada 10 Oktober lalu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kesiapsiagaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut dipertingkatkan melalui tindakan pantas bersama PBT dan kerajaan negeri dalam menghadapi bencana monsun kali ini.
“Banjir tahun ini menyaksikan lebih 150 pusat pemindahan sementara tambahan diaktifkan, membantu lebih 12,000 mangsa,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menjelaskan Belanjawan MADANI 2026 memperuntukkan RM470 bilion dengan fokus kepada memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh tadbir urus dan memastikan bantuan disampaikan terus kepada rakyat.
Sabah dan Sarawak terus diberi tumpuan melalui projek air, sekolah daif, Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta pembangunan digital di bawah projek Kabel Dasar Laut MADANI.
Dalam aspek keselamatan dan pengurusan bencana, NADMA menerima RM460 juta, manakala RM2.2 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan pula kekal penerima peruntukan terbesar iaitu RM66.2 bilion, diikuti Kementerian Kesihatan RM46.5 bilion termasuk pelantikan tetap 4,500 doktor kontrak pada tahun hadapan.- KOSMO! ONLINE.














