PETALING JAYA – Perlindungan harta intelek (IP) negara bakal diperkukuh apabila Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mengumumkan perancangan meminda tujuh akta utama bermula tahun 2026, sekali gus memastikan undang-undang sedia ada kekal relevan dengan perkembangan global.
Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, pindaan itu penting bagi memastikan mekanisme perlindungan IP setanding piawaian antarabangsa, termasuk selaras dengan komitmen Malaysia selepas menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) pada 26 Oktober lalu.
Menurutnya, pindaan tersebut turut bertujuan memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan kecekapan sistem perlindungan dan menjadikan Malaysia destinasi yang diyakini pelabur serta pencipta inovasi.
“Langkah ini akan memastikan kepentingan pencipta tempatan, usahawan, industri kreatif dan inovator negara terus terpelihara. Kita mahu Malaysia dilihat sebagai hab inovasi serantau,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Promosi MyIPO @ LRT di sini, hari ini.
Beliau menambah, tujuh akta utama yang bakal dipinda adalah Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002, Akta Cap Dagangan 2019, Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987, Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000, Akta Petunjuk Geografi 2022 dan Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996.
Dalam perkembangan berkaitan, MyIPO mengumumkan pelaksanaan penuh sistem permohonan Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta (Copyright Voluntary Notification – CVN) secara dalam talian mulai hari ini.
Jelas MyIPO, melalui platform dipertingkatkan di iponline2u.myipo.gov.my, pemohon boleh menghantar dokumen, mengesahkan karya, membuat pembayaran digital dan memperoleh sijil CVN serta-merta tanpa hadir ke kaunter.
“Transformasi digital itu dianggap sebagai langkah besar dalam memodenkan perkhidmatan IP negara agar lebih pantas, mudah diakses dan memenuhi keperluan industri kreatif, akademik, usahawan dan penjawat awam,” jelasnya.
Sementara itu, MyIPO turut memperkenalkan Promosi MyIPO @ LRT, iaitu inisiatif menggunakan tren LRT sebagai medium penyampaian mesej mengenai pentingnya melindungi IP.
Yusnieza berkata, kempen ini merupakan langkah strategik dalam memanfaatkan
platform pengangkutan awam iaitu tren LRT, sebagai medium komunikasi massa berimpak tinggi.
“Dalam setiap perjalanan tren, memiliki tiket yang sah adalah jaminan selamat sampai ke destinasi. Inilah analogi yang sama dengan perlindungan harta intelek.
“Bagaimana usahawan kecil dapat melindungi identiti unik kedai kopinya daripada ditiru? Oleh itu, MyIPO menawarkan ‘tiket keselamatan’ ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














