KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperketatkan pemantauan integriti pegawai menteri susulan isu surat sokongan yang tular baru-baru ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan audit dalaman serta semakan tatakelakuan akan diperkukuh bagi memastikan setiap pegawai mematuhi pekeliling tatatertib dan garis panduan yang ditetapkan Ketua Audit Negara.
“Pemantauan dijalankan secara berterusan. Saya setuju perlu ada penelitian lebih teliti, termasuk berkaitan isu surat sokongan yang dibangkitkan sejak beberapa hari lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, tidak semua surat sokongan membawa maksud campur tangan atau salah laku kerana wujud perbezaan antara surat yang meminta pertimbangan dan surat yang mendesak kelulusan.
“Tidak harus disamakan. Ada surat sekadar memohon permohonan diteliti, berbeza dengan surat yang meminta kelulusan segera,” katanya.
Beliau turut memberi contoh kes pegawai di Pejabat Perdana Menteri yang hanya memanjangkan senarai syarikat untuk diteliti, namun menegaskan surat yang mendesak kelulusan projek adalah melanggar peraturan dan tidak boleh diterima.
“Wajar ditegur, tetapi tidak perlu dipecat kerana surat itu hanya menyebut ‘sila pertimbangkan’, bukan meluluskan,” katanya.
Anwar menegaskan kerajaan kekal komited mempertahankan integriti pentadbiran dan tindakan akan diambil mengikut tahap kesalahan selaras dasar tadbir urus baik.- KOSMO! ONLINE.














