KUALA LUMPUR – Kerajaan berjaya mengurangkan kebergantungan terhadap hutang baharu apabila pinjaman tahunan negara susut daripada kira-kira RM100 bilion pada 2021 kepada antara RM70 hingga RM75 bilion tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penurunan hampir RM30 bilion itu mencerminkan disiplin fiskal lebih kukuh hasil pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, selain usaha kerajaan menutup ketirisan serta menyusun semula perbelanjaan.
“Ini kadar pengurangan yang ketara dan membuktikan disiplin fiskal yang kita laksanakan mula menunjukkan hasil. Namun isu besar kita masih berkait tanggungan hutang dan obligasi yang perlu ditunaikan,” katanya ketika sesi Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH–Bangi) mengenai jumlah terkini hutang negara dan prinsip kerajaan dalam mengurangkan pinjaman baharu.
Setakat 30 September 2025, jumlah hutang Persekutuan direkodkan RM1.3155 trilion. Bagaimanapun, Anwar menegaskan kedudukannya kekal terurus serta berada dalam had undang-undang.
Menurutnya, hutang statutori kini pada paras 64 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), masih di bawah siling 65 peratus. Hutang luar pesisir pula hanya RM22.4 bilion, jauh lebih rendah daripada had 35 peratus yang dibenarkan.
“Bil perbendaharaan juga berada pada paras sihat iaitu RM4 bilion berbanding had maksimum RM10 bilion,” katanya.- KOSMO! ONLINE.














