Dunia bola sepak sering dikaitkan dengan bakat yang dianggap penentu untuk segala proses memburu kejayaan bagi setiap pemain.
Misalnya, pemain seperti Diego Maradona, Lionel Messi, dan Pele dianggap sebagai ahli sukan yang dilahirkan dengan bakat bola sepak yang hebat serta berjaya membina karier dan nama di arena tersebut.
Bagaimanapun, kapten Portugal, Cristiano Ronaldo antara ahli sukan yang dikatakan tidaklah memiliki bakat sehebat Messi, namun keinginan dan kemahuannya dalam bola sepak yang cukup luar biasa.
Keinginan yang memuncak sentiasa menjadi perkara yang mampu melangkaui tahap kebiasaan untuk mencipta sesuatu di luar daripada biasa.
Misalnya, kempen kelayakan Piala Dunia 2026 kali ini menyaksikan beberapa kejutan berlaku apabila empat negara, Cape Verde (Afrika), Curacao (Concacaf), Jordan dan Uzbekistan (Asia) mengesahkan tempat ke pusingan akhir buat kali pertama dalam sejarah negara masing-masing.
Paling menarik untuk disoroti adalah Curacao apabila mereka berjaya mengikat Jamaica tanpa jaringan untuk meraih satu daripada 42 slot yang ditawarkan.
Lebih manis, mereka muncul negara yang memiliki populasi paling kecil layak ke Piala Dunia dengan hanya memiliki 156,000 penduduk untuk mengatasi rekod Iceland (400,000 penduduk).
Sepanjang saingan kelayakan, Curacao berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah apabila meraih tiga kemenangan dan tiga seri untuk menafikan slot automatik yang diburu Jamaica sekali gus membuktikan keinginan besar mereka mampu merealisasikan apa sahaja impian.
Di Thailand, lori biru viral turut menjadi simbol keinginan yang kuat apabila Monthong Wittaya yang merupakan sebuah sekolah kampung tanpa reputasi mencipta publisiti luar biasa apabila pasukan bola sepaknya mara ke pentas final saingan 7HD Champion Cup 2025.
Biarpun tewas di perlawanan akhir, perjalanan pasukan itu cukup luar biasa apabila menewaskan empat sekolah sukan elit ketika sebahagian besar para pemain adalah mereka yang gagal dalam pemilihan di sekolah-sekolah lain.
Malah, jurulatih mereka, Sakon Kliangprasert juga dikatakan seorang jurulatih yang ‘dibuang’ dari sekolah yang pernah menjuarai pertandingan sama sebanyak tiga kali kerana menyangka dia sudah tidak relevan, namun keinginannya tidak mampu dihalang oleh sesiapa.
Selain itu, kisah Manolo Gonzalez di Sepanyol juga tidak kurang menarik, karier bola sepaknya tidak terlalu panjang ekoran kecederaan lutut yang memaksanya bersara awal sebelum menceburi bidang kejurulatihan dan mengemudi pasukan seawal usia 16 tahun.
Bagi menampung kehidupan, Gonzalez turut bekerja sebagai pemandu bas bandar dengan salah satu laluan yang ditetapkan dalam tugasnya adalah dengan melalui kawasan Camp Nou, stadium yang menjadi kebanggaan Barcelona.
Keinginannya untuk berjaya dalam bola sepak sangat luar biasa apabila melatih banyak pasukan di peringkat umur dan meraih pelbagai kejayaan sehinggalah akhirnya ditawarkan kontrak jurulatih profesional.
Pada Mac tahun lalu, Espanyol yang beraksi dalam saingan La Liga dan merupakan seteru setempat untuk Barcelona memberikannya kepercayaan mengemudi pasukan itu yang kini berada di kedudukan keenam saingan.
















