PETALING JAYA – Penyanyi Ernie Zakri mengakui dia pernah memasang impian untuk menjadi seorang pramugari sekiranya tidak bergelar guru vokal.
Menurut Ernie atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, kerjaya tersebut dilihat sesuai dengan karakternya yang mesra dengan orang di sekeliling.
“Kalau saya bukan seorang penyanyi atau guru vokal, kerjaya paling sesuai dengan diri adalah pramugari.
“Saya memang suka jadi pramugari tetapi nak bertugas di penerbangan kelas bisnes sahaja.
“Saya pandai melayan tetamu, encik mahu kopi? Peminat pun tahu saya memang ada cita-cita nak jadi pramugari,” katanya pada showcase A Letter From Ernie Zakri di Petaling Jaya Performing Art Centre (PJPAC) di sini, baru-baru ini.
“Saya tak boleh bayangkan buat kerja lain selain penyanyi sebab sudah didedahkan dengan dunia seni sejak kecil.
“Saya tak pandai buat benda lain selain daripada menyanyi sahaja. Kalau tak jadi penyanyi dan guru vokal mungkin lakukan kerja di belakang tabir.
“Saya akan lakukan apa sahaja kerja berkaitan muzik sebab memang dekat di hati cuma kalau nak jauh sikit, pramugari,” ujarnya.
Bercerita mengenai showcase yang dihadiri lebih 600 penonton terdiri daripada peminat setianya termasuk kelab peminat Ernienators, dia mengakui terharu dengan sambutan luar biasa tersebut.
“Persembahan hari ini memang saya buat istimewa untuk peminat.
“Ini juga bagi menebus kekecewaan kerana tak dapat berkomunikasi dengan peminat pada konsert solo pada Januari lalu sebba masalah peti suara,” jelasnya.
Pada acara anjuran SAH Entertainment dan Universal Music Malaysia itu, Ernie menyampaikan lebih 10 buah lagu.
Lebih istimewa, pemuzik terkenal Indonesia, Andi Rianto turut muncul mengiringi persembahan Ernie bagi lagu terbaharunya berjudul Perjalanan. – KOSMO! ONLINE














