fbpx
Da'i Syed bersama isteri dan peguam selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

[VIDEO] Nasib Da’i Syed 23 Januari depan, peguam bangkit isu rela mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Keputusan rayuan pendakwah selebriti, Da’i Syed berhubung sabitan dan hukuman rogol terhadap seorang wanita berusia 23 tahun akan diketahui pada 23 Januari depan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid menetapkan tarikh itu bagi meneliti keseluruhan hujahan bertulis dan lisan kedua-dua pihak, termasuk permohonan pihak pendakwaan untuk pemberatan hukuman terhadap Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 30.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas mendapati dia bersalah merogol mangsa di sebuah kondominium di Seksyen 7 di sini, lima tahun lalu.

Dai’ Syed sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada 30 Ogos tahun lalu
selepas didapati bersalah pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Pada prosiding rayuan hari ini, peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff mewakili Dai’ Syed menimbulkan isu kerelaan mangsa sama ada hubungan tersebut dilakukan secara sukarela atau dipengaruhi keadaan kesihatan mental mangsa.

Katanya, pendakwaan telah mencampuradukkan keadaan mental dengan isu keizinan sehingga menyebabkan naratif kes menjadi tidak konsisten.

“Jika pendakwa bergantung pada isu keizinan sahaja, isu keadaan mental atau ketakutan tidak akan dihujahkan panjang. Banyak keterangan dimasukkan seolah-olah mahu mengikat semua elemen sekali gus.

“Namun, sekiranya mangsa benar-benar tidak berupaya memahami, pendakwa seharusnya terus menggunakan peruntukan E dan bukan isu keizinan,” katanya.

Peruntukan E merujuk kepada keadaan di mana mangsa memberi kerelaan tetapi tidak memahami sifat atau akibat perbuatan tersebut.

Mohamed Baharudeen menegaskan, tindakan pendakwaan menghujahkan pelbagai asas serentak memberi prejudis kepada tertuduh selain menyebabkan salah arah (misdirection) kepada hakim perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman menegaskan, isu berkenaan sama ada hubungan seks dilakukan secara rela atau sebaliknya adalah tidak perlu dibuktikan kerana semua elemen pertuduhan dan telah diputuskan serta dibuktikan di Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Jelasnya, Hakim Mahkamah Sesyen ketika itu adalah tidak terkhilaf dengan pembelaan perayu adalah bersifat penafian semata-mata.

“Isu utama sama ada pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini. Pembelaan tertuduh adalah persetubuhan atas kerelaan sendiri mangsa dan dinyatakan hubungan seks dimulai mangsa sendiri. Namun ia tidak disokong apa jua keterangan secara lisan atau dokumen.

“Hujahan keseluruhan perayu adalah tidak bermerit dan wajar tidak dipertimbangkan oleh mahkamah ini,” katanya.

Malah katanya, pada peringkat pendakwaan elemen pertuduhan terhadap tertuduh adalah tanpa kerelaan mangsa ini termasuk hujahan kepada Mahkamah Tinggi bagi penangguhan hukuman sebelum ini.

“Seperti mana dalam kes ini, mangsa mengikuti tertuduh ke rumahnya tidak boleh secara automatik dikatakan mangsa rela melakukannya,” katanya.

Justeru, pendakwaan sebagai responden juga menyatakan hukuman diberikan sebelum ini agak rendah berbanding kes-kes lain iaitu hanya 10 tahun sahaja (penjara).

“Responden berharap perayu diletakkan dibawah pengawasan polis selama tiga tahun dan diberikan kaunseling sepanjang pemenjaraan,” jelasnya.

Kosmo! pada 20 September lalu melaporkan Mahkamah Tinggi di sini membenarkan Da’i Syed dilepaskan sementara selepas dipenjara 21 hari bagi penggantungan pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya di didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika kejadian) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, di sini pukul 1.35 pagi pada 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI