fbpx
Chin Tong di Dewan Negara hari ini. - Foto JAPEN

Malaysia tidak terikat beli barangan, melabur di AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mempunyai sebarang obligasi untuk membeli barangan atau melabur di Amerika Syarikat (AS) bernilai sekitar AS$240 bilion di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–AS.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, ART bukan perjanjian perdagangan bebas (FTA), sebaliknya satu rundingan strategik bagi melindungi kepentingan ekonomi Malaysia susulan tindakan tarif unilateral AS terhadap beberapa negara termasuk Malaysia.

Beliau berkata, angka AS$240 bilion yang disebut sebelum ini bukan komitmen kerajaan, sebaliknya merujuk kepada keputusan perniagaan komersial oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional Malaysia yang sudah pun mempunyai rancangan perolehan masing-masing berdasarkan strategi pelaburan dan perniagaan.

“Kesemua urus niaga ini adalah berbentuk perniagaan-ke-perniagaan (Business to Business – B to B) dan didorong oleh keputusan komersial serta jangkaan dan pulangan pelaburan syarikat yang merangkumi pembelian pesawat daripada Boeing, peralatan keselamatan, gas asli cecair (Liquefied Natural Gas – LNG), peralatan semikonduktor, komponen aeroangkasa, peralatan pusat data, peralatan telekomunikasi serta arang batu.

“Sebagai contoh, komitmen perolehan pesawat merupakan sebahagian daripada pelan pembaharuan dan peluasan armada kapal penerbangan negara yang dilaksanakan secara berfasa, bagi menggantikan pesawat lama dan memastikan keselamatan serta kemampanan operasi, di samping menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negara,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Datuk Low Kian Chuan berhubung sama ada Malaysia perlu menunaikan komitmen komersial untuk membeli barangan AS dan melabur di sana yang dianggarkan bernilai sekitar AS$240 bilion di bawah ART.

Ching Tong berkata, perolehan LNG pula merupakan komitmen bekalan jangka panjang oleh PETRONAS untuk memenuhi kontrak
sedia ada, mengoptimumkan sumber, dan memastikan kesinambungan penghantaran kepada pelanggan.

“Perolehan ini adalah keputusan komersial PETRONAS dan bukan atas arahan Kerajaan untuk memenuhi obligasi di bawah ART.

“Kesimpulannya, dapat ditegaskan bahawa komitmen yang dinyatakan di bawah ART adalah keputusan korporat syarikat, dilaksanakan melalui mekanisme pasaran dan tidak membentuk sebarang kewajipan negara,” katanya.

Katanya, ART tidak menuntut Kerajaan Malaysia untuk membeli barangan atau melabur di AS dalam nilai tertentu dalam tempoh masa yang ditetapkan,
dan kerajaan tidak terikat untuk memenuhi apa-apa jumlah yang dinyatakan dalam dokumen komersial tersebut.

“Kerajaan kekal komited memastikan perdagangan dua hala yang inklusif dan berdaya saing, namun pada masa yang sama memastikan integriti
fiskal negara dipelihara dan tidak diganggu oleh perolehan komersial yang tidak melibatkan kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN