PETALING JAYA – Skuad hoki lelaki 5 sebelah (5s) negara menerima suntikan keyakinan menjelang Sukan SEA Thailand apabila Indonesia dilaporkan lebih memberi tumpuan untuk menyaingi Thailand, sekali gus meletakkan Malaysia pada tahap berbeza dalam hierarki serantau.
Perkembangan itu hadir sebagai isyarat positif bahawa reputasi skuad negara masih kukuh dalam format hoki 5s, namun pada masa sama membuka ruang kemungkinan taktikal baharu daripada lawan yang mungkin menyimpan strategi tersembunyi.
Ketua jurulatih, Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman bagaimanapun mengingatkan ancaman sebenar menjelang temasya kali ini bukan datang daripada Thailand atau Indonesia, tetapi daripada kemampuan pasukan sendiri untuk mengekalkan disiplin permainan sepanjang kejohanan.
“Kalau kami hilang fokus walau sekejap, kami sendiri yang akan menghukum diri. Lawan bukan masalah utama, konsistensi kami yang akan tentukan segalanya,” tegasnya.
Beliau menilai hoki 5s sebagai format berintensiti tinggi yang membuka ruang besar kepada kejutan, sekali gus menjadikan pengurusan tekanan serta kestabilan mental pemain sebagai faktor penentu setiap keputusan.
“Dalam hoki 5s, satu saat boleh ubah perlawanan. Tekanan tinggi dan ruang kecil, jadi mental kena kuat. Pasukan yang buat keputusan paling cepat selalunya menguasai. Kami kena pastikan pemain sentiasa tenang dan bijak di bawah tekanan,” ujarnya.
Skuad negara turut menganggap aksi persahabatan di Thailand baru-baru ini sebagai pengalaman penting untuk memahami kekuatan tuan rumah, selain menyesuaikan diri dengan papan lantunan yang akan digunakan di Sukan SEA nanti.
“Papan lantunan di sana agak berbeza. Jadi perlawanan di Thailand banyak bantu kami sesuaikan tempo,” jelasnya.
Dengan baki beberapa hari sebelum berlepas ke Bangkok, tumpuan utama kini tertumpu kepada memastikan pemain bebas daripada kecederaan dan berada pada tahap mental optimum, selain mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh membuka ruang kepada kejutan tidak diingini. KOSMO! ONLINE.















