PETALING JAYA – Jika dihitung hari dan bulan, sebenarnya masyarakat Islam di negara ini akan menyambut bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi, sehubungan itu, ada juga yang sudah buat persediaan awal bagi mengawal bajet pada masa kemuncak nanti.
Begitu juga dengan sebuah syarikat yang berpengalaman luas dalam bidang penganjuran festival raya iaitu Raydiates Blue Sdn Bhd. (Raydiates) sedang membuat perancangan untuk membawa sebuah festival raya terbesar yang pertama di puncak tertinggi Putrajaya iaitu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Februari tahun depan.
Gema Raya Putrajaya 2026@PICC bakal memberi limpahan rantaian ekonomi
melakar sejarah apabila muncul festival raya terbesar pertama dengan menyediakan
lebih 300 usahawan dan mewujudkan hampir 1,000 peluang pekerjaan serta
menonjolkan Putrajaya sebagai destinasi perayaan utama negara.
Penganjurnya yang juga Pengarah Urusan Raudiates, Rayme Zainal berkata, PICC dipilih sebagai lokasi kerana merupakan bangunan ikonik dan pusat berteknologi tinggi yang dirancang untuk acara persidangan selain menawarkan fasiliti bertaraf antarabangsa.

“Menjadi ruang pertemuan budaya, komuniti dan pelancongan, Gema Raya Putrajaya 2026@PICC bukan sekadar bazar tetapi turut mengangkat warisan negara menerusi busana kebaya dan batik Edisi Ramadan – Raya yang menjadi identiti seni tekstil negara.
1
“Dengan sokongan pelbagai rakan rasmi dan sebagai penganjur acara, kami mahu menjadikan festival ini satu pengalaman bermakna dan berimpak untuk masyarakat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) setiap kali menjelang Ramadan” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Festival yang akan mula dibuka kepada umum dengan pelbagai aktiviti dan jualan bermula 15 Februari depan hingga ke ambang malam 1 Syawal dianjurkan bersama PULSE Group dan PULSE Event Management (PEM) serta turut menerima sokongan Pulse Grande Hotel Putrajaya sebagai hotel rasmi festival.
Sebelum ini, Raydiates mencatat kejayaan besar menerusi penganjuran Anjung Syawal Putrajaya 2025 yang menarik kehadiran lebih satu juta pengunjung menerusi 330 lot niaga dan merekodkan jualan lebih RM10 juta selama 33 hari.
Rayme menambah, bertemakan “Lebih Tinggi, Lebih Meriah, Lebih Raya”,festival itu akan menjadi antara acara utama untuk menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) dengan kombinasi kerohanian, seni budaya, gastronomi, hiburan dan keusahawanan dalam suasana puncak bukit yang unik.

Menurutnya, festival itu akan menampilkan lebih 300 usahawan merangkumi fesyen, tekstil, kraftangan, produk artisanal dan vendor gaya hidup dengan tumupuan utama di zon gastronomi iaitu kendalian Grab & Go Cafe dengan kerjasama Anjung E.A.T.S.
Tambah beliau, E.A.T.S membawa maksud Experience, Appreciate, Taste & Share yang bakal menghimpunkan 20 usahawan yang menawarkan hidangan berbuka, moreh dan sahur dalam suasana ‘hilltop street food’.
“Turut menyerikan festival adalah program kerohanian seperti tazkirah dan solat terawih, persembahan seni budaya dan seni Islam, demonstrasi masakan, bengkel kraf, sesi ramah mesra selebriti, persembahan artis-artis terkenal serta konsert mini Syawal Showcase.
“Turut dirancang sambutan tradisi bersama komuniti dan pengunjung, Malam 7 Likur di mana pelita akan menerangi kawasan bukit sebagai simbol harapan dan perpaduan,” katanya.
Rayme memberitahu, orang ramai juga tidak perlu bimbang berkunjung ke PICC kerana ia menawarkan 1,200 tapak parkir kenderaan secara percuma dengan resit membeli-belah selain surau luas dan selesa yang boleh memuatkan sehingga 300 jemaah pada satu masa bagi memudahkan pengunjung menunaikan solat sepanjang Ramadan. -KOSMO! ONLINE















