BUKIT KAYU HITAM – Terdapat segelintir rakyat Malaysia yang didakwa enggan ‘diselamatkan’ pasukan penyelamat sukarelawan kerana tidak mahu meninggalkan bagasi selain memberi alasan mahu menunggu ahli keluarga lain.
Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani, Leong Beng Tat berkata, situasi itu menyebabkan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa ke tempat selamat menjadi sukar.
“Memandangkan ruang bot terhad dan prinsip utama ialah menyelamatkan nyawa terlebih dahulu, kami tidak dapat membawa keluar bagasi dalam jumlah besar.
“Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran operasi,” katanya di sini hari ini.
Katanya, semua mangsa turut dinasihatkan supaya tidak membuat panggilan dalam keadaan yang tidak mendesak kepada pasukan penyelamat kerana ia boleh mengganggu operasi dan melambatkan gerakan menyelamat.
“Empat telefon bimbit operasi telah rosak akibat ditenggelami air, namun pasukan tetap meneruskan tugas tanpa mengalah, malah tidak akan berundur sebelum semua rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar dari kawasan bencana,” ujarnya.
Menurutnya, paras air di laluan menuju ke Hatyai dilaporkan mula surut, sekali gus membolehkan pasukan penyelamat memasuki kawasan terjejas awal pagi ini dengan membawa lapan bot penyelamat serta beberapa lori besar yang sarat bekalan bantuan.
“Pasukan memanfaatkan peluang ini untuk menyalurkan keperluan asas dan membawa keluar mangsa berisiko tinggi termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak.
“Sehingga tengah hari tadi, seramai 1,006 rakyat Malaysia telah berjaya diselamatkan dengan bantuan pasukan sukarelawan, manakala rekod rasmi menunjukkan kira-kira 1,000 lagi masih terperangkap di sekitar Hatyai,” jelasnya.
Sementara itu, di kawasan luar pusat beli-belah Central Festival Hatyai, ramai rakyat Malaysia menunggu operasi menyelamat dengan penuh harapan.
Kehadiran pasukan penyelamat dari Malaysia menggembirakan mereka. Sebahagian kanak-kanak kelihatan letih selepas menunggu terlalu lama. – KOSMO! ONLINE














