fbpx
Gambar hiasan.

Dewan Rakyat: 14 Lokasi baharu Tabika Kemas dibuka tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memperluaskan pendidikan awal inklusif apabila mengumumkan peruntukan RM457,696 tahun ini bagi menggerakkan pembangunan Tabika Tunas Istimewa@Kemas khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, dana berkenaan digunakan bagi membaik pulih bangunan, membeli peralatan, membangunkan modul, melatih guru serta melaksanakan Program Bantuan Makanan Tambahan (BMT).

Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan bersedia menyediakan belanjawan lebih besar tahun depan, mencecah RM5 juta, bagi membuka lebih banyak tabika istimewa.

“Peruntukan 2026 meliputi pembaikan bangunan, pembelian peralatan, latihan guru, BMT, Geran Per Kapita (GPK), elaun kanak-kanak serta bayaran kepada Pendidik Komuniti (PM), Penolong Pendidik Komuniti (PPM) dan Pembantu Sukarelawan Pendidik Komuniti (PPMS) di 14 Tabika Tunas Istimewa@KEMAS di seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Rubiah menjawab soalan Zahari Kechik (PN–Jeli) mengenai pelaksanaan Tabika Khas Kanak-Kanak Autisme dan jumlah peruntukan yang diagihkan.

Menurutnya, setiap tabika dijangka menerima sekitar RM150,000 termasuk BMT, GPK dan elaun kanak-kanak.

Program ini bermula sebagai projek perintis pada 15 Julai lalu di Melaka, khusus bagi kanak-kanak dalam spektrum autisme, sebelum dilancar rasmi pada 16 Ogos dengan pembukaan tiga tabika di Jasin, Melaka Tengah dan Masjid Tanah.

Sebagai langkah pengembangan, 14 tabika baharu akan dibuka tahun depan satu di setiap negeri.

Rubiah turut mengumumkan bahawa mulai 2027, program tersebut dirancang berkembang melalui konsep ‘Satu Daerah, Satu Tabika Tunas Istimewa@KEMAS’, bagi memastikan akses pendidikan inklusif dapat dinikmati kanak-kanak berkeperluan khas di seluruh negara.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN