PETALING JAYA – Impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meneruskan momentum cemerlang dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada Melbourne City, sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Rectangular itu, skuad Harimau Selatan hadir dengan rekod cemerlang selepas berjaya menang dua aksi ACLE bertemu dua kelab China sebelum ini.
JDT yang dikendalikan oleh Xisco Munoz terkejut dengan asakan awal tuan rumah apabila dibolosi hasil tandukan Max Caputo menerusi situasi sepakan penjuru seawal minit ketiga.
Tersentak dengan gol tersebut, JDT memperkemaskan jentera serangan dengan gandingan Bergson da Silva dan Jairo da Silva cuba untuk menembus benteng pertahanan lawan.
Namun, juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu gagal membolisi kubu lawan apabila setiap asakan yang dibuat mudah dipatahkan.
Ketika JDT giat mengasak, Melbourne berjaya menggandakan kelebihan menerusi penyudah berbisa Medin Memeti pada masa kecederaan sekali gus menghadiahkan kekalahan kedua JDT dalam kempen ACLE musim ini.
Selepas ini, JDT akan mengalihkan tumpuan untuk aksi separuh akhir Piala FA menentang Kuching City di laman sendiri, Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE















