Riyadh – Selepas hampir satu dekad bersama, Cristiano Ronaldo akhirnya bersedia mengikat hubungan dengan tunangnya, Georgina Rodriguez apabila pasangan itu dilaporkan bakal melangsungkan perkahwinan di kampung halamannya, Madeira, Portugal.
Menurut laporan Jornal da Madeira, majlis dijangka berlangsung pada musim panas selepas Piala Dunia 2026 di Katedral Funchal, sebelum diteruskan dengan resepsi mewah di sebuah hotel eksklusif.
Pemilihan lokasi penuh dengan kisah sentimental di mana katedral hanya 2.4 kilometer dari hopital kelahiran Ronaldo dan tidak jauh dari kelab zaman kanak-kanaknya, Nacional da Madeira.
Pasangan tersebut sebelum ini mengumumkan pertunangan pada Ogos lalu, selepas lebih sembilan tahun bersama sejak pertemuan pertama di Madrid.
Ronaldo, 40, mengakui detik lamarannya bukan seperti kisah cinta lain dan dibuat secara spontan meskipun disertakan cincin bernilai £1.5 juta (RM18.6 juta).
“Ia sekitar pukul 1 pagi. Anak-anak perempuan saya tidur. Salah seorang rakan bagi saya cincin untuk serahkan pada Gio. Bila saya nak beri, dua anak saya tiba-tiba masuk dan jerit, ‘Daddy nak bagi cincin dekat mummy!'” katanya kepada Piers Morgan.
Detik itu membuatkan Ronaldo berasa ia adalah masa yang sesuai dan memberi lamaran secara spontan sehingga tidak sempat untuk melutut.
“Saya tak bersedia tapi ia detik yang indah. Saya beri ucapan. Ia mudah, saya bukan lelaki yang terlalu romantik. Saya romantik, tapi bukan jenis yang bawa bunga setiap minggu. Tapi dengan cara saya, ia tetap romantik. Saya tahu dia wanita hidup saya,” katanya.
Ronaldo mempunyai lima anak, dua daripadanya Alana Martin dan Bella Esmeralda, bersama Georgina.
Anak sulungnya, Crisriano Jr yang lahir pada 2010 sebelum hubungan mereka bermula, manakala Eva dan Mateo dilahirkan melalui ibu tumpangan pada 2017.
Mereka turut melalui detik pilu pada 2022 apabila anak lelaki kembar mereka, Angel, meninggal dunia sewaktu lahir.
Pasangan bintang Portugal dan model Argentina-Sepanyol itu dikatakan mula berkenalan pada 2016 ketika Ronaldo bermain untuk Real Madrid. – KOSMO! ONLINE















