SEPANG – Polis mengesahkan lelaki yang maut dalam insiden berbalas tembakan berhampiran Batu 8, Jalan Banting–Dengkil dekat sini, semalam merupakan salah seorang ketua sindiket samun berkumpulan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, semakan lanjut turut mendapati suspek yang berusia 30 tahun itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan samun berkumpulan, mendatangkan kecederaan, pecah rumah dan merusuh serta dua rekod dikehendaki.
“Pada 19 November lalu, suspek yang sepatutnya dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam telah menghilangkan diri. Pertuduhan itu melibatkan Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan, manakala Seksyen 377C Kanun Keseksaan adalah kes bersabit di Puchong pada tahun 2023.
“Dan apabila suspek tidak hadir untuk dituduh, kes telah DNAA (melepas tanpa membebaskan) oleh mahkamah dan permohonan waran tangkap dibuat,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, suspek yang berasal dari daerah ini sangat aktif dan agresif melakukan jenayah samun di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala siasatan mendapati sindiket berkenaan mempunyai kira-kira 10 ahli atau rakan sejenayah.
“Kita telah mengenal pasti saki baki ahli kumpulan yang terlibat serta usaha untuk mengesan ahli kumpulan yang terlibat sedang giat dijalankan.
“Modus operandi mereka adalah menyasarkan rumah kediaman, tapak projek dan kilang e-waste sebagai sasaran samun dengan bersenjatakan pistol, parang dan batang besi.
“Kumpulan ini juga akan mencabut atau merosakkan televisyen litar tertutup (CCTV), memakai topeng muka serta bersarung tangan ketika melakukan jenayah untuk menyembunyikan identiti dan tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa sekiranya diancam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















