fbpx
Gambar hiasan

Banjir: Bantuan RM500 kepada 750 keluarga terkesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Bantuan sebanyak RM500 akan diberikan kepada 750 buah keluarga yang disahkan berdaftar di daerah yang terkesan akibat banjir.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu diumumkan hasil mesyuarat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri lagi tadi berhubung kejadian banjir yang melanda di lima daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling, dan Klang.

Katanya, faktor utama peningkatan paras air di kawasan-kawasan adalah taburan hujan yang melebihi jangkaan dan turut memberi kesan melibatkan lapan negeri seluruh negara.
“Sebagai bantuan awal kepada mangsa yang berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS), Kerajaan Negeri akan menyampaikan bantuan RM500 kepada setiap daripada 750 keluarga terjejas yang telah disahkan berdaftar di daerah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, seramai 2,784 mangsa telah ditempatkan di 21 PPS setakat pukul 11.30 pagi tadi.

Tambah Amirudin, daripada jumlah itu didapati seramai 221 merupakan pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

“Bagi memudahkan urusan pergi dan pulang ke pusat peperiksaan masing-masing, pejabat-pejabat Daerah akan menyediakan pengangkutan percuma dari PPS ke pusat peperiksaan.

“Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) akan menyalurkan bantuan segera kepada pelajar-pelajar ini yang kehilangan peralatan menulis dan digital akibat banjir agar urusan peperiksaan mereka dapat diteruskan dengan lebih selesa,” jelasnya.

Tegas Amirudin, beliau mengarahkan supaya usaha tebatan banjir dipercepatkan di beberapa kawasan tumpuan, dengan pemantauan dan diperincikan petang ini oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim.

“Selain itu, saya turut mendoakan keselamatan seluruh rakyat negeri Selangor terutamanya mereka yang berada di PPS dan menzahirkan penghargaan kepada pasukan petugas yang bertungkus lumus menyalurkan bantuan segera kepada mereka yang terkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI