fbpx
Rahmad menyantuni calon SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Molek, Melaka, hari ini. Foto oleh AMRAN ALI / KOSMO!

Tular kes dera di sekolah agama, Exco gesa lapor polis jika betul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Pelajar atau ibu bapa diminta membuat laporan rasmi sekiranya berlaku kes pukul dan dera di sebuah sekolah agama swasta di Melaka Tengah, seperti yang tular baru-baru ini bagi membolehkan tindakan tegas diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini tiada laporan rasmi diterima namun isu itu dipandang serius kerana melibatkan keselamatan pelajar.

“Kalau betul ada kes pukul dan dera, saya minta pelajar dan ibu bapa buat laporan terus kepada kami, jangan hanya berhenti pada cerita viral.
“Beberapa madrasah swasta pernah kita ambil tindakan, malah ada yang ditutup tahun lalu. Aduan rasmi sangat penting supaya siasatan dapat dibuat serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni 249 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Molek, di sini, hari ini.

Isu itu tular selepas seorang bekas pelajar mendakwa berlaku penderaan fizikal dan pengabaian kebajikan sepanjang tiga tahun berada di madrasah berkenaan, termasuk ditampar serta ditumbuk hingga menyebabkan mulut berdarah.

Madrasah berkenaan juga didakwa tidak memaklumkan kepada ibu bapa sekiranya pelajar jatuh sakit meskipun dalam keadaan serius.

Rahmad berkata, ketiadaan laporan rasmi menyukarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan, namun pegawai Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) sentiasa membuat pemantauan berkala.

“Jika benar berlaku, tampilkan maklumat kepada Jabatan Pendidikan Negeri atau kepada saya sendiri kerana keselamatan pelajar mesti didahulukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rahmad memberitahu seramai 13,358 calon menduduki peperiksaan bertulis SPM di 100 pusat peperiksaan di seluruh negeri bermula hari ini sehingga 23 Disember, termasuk 83 calon berkeperluan khas.

Seramai 1,915 petugas peperiksaan turut dilantik bagi memastikan kelancaran proses keseluruhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN