PETALING JAYA – Sebanyak 10 sungai dan satu empangan di empat negeri dilaporkan melepasi paras bahaya setakat pukul 9 pagi tadi, susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Menurut data terkini di portal rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Selangor mencatat jumlah tertinggi melibatkan beberapa lokasi utama.
Di Selangor, sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor; Sungai Binjai di Pekan Meru; Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang; Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat dan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam.
Di Perak, hanya satu lokasi terjejas iaitu Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak.
Di Kedah, dua sungai turut merekodkan paras bahaya iaitu Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar.
Sementara itu di Perlis, tiga lokasi melepasi paras bahaya melibatkan Sungai Kampung Bakau di Kampung Bakau, Kangar; Sungai Jarum di Kampung Masjid serta Empangan Timah Tasuh di Padang Besar.
Situasi banjir di beberapa kawasan dijangka terus berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada cuaca dan pelepasan air sungai. – KOSMO! ONLINE















