ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir di daerah Kubang Pasu dan Kulim terus meningkat apabila merekodkan seramai 1,088 orang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 8 malam ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, seramai 761 mangsa berlindung di lima PPS di Kubang Pasu, manakala 327 lagi di dua PPS di Kulim.
“Lima PPS dibuka di Kubang Pasu bermula pukul 8 pagi tadi melibatkan seramai 346 mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8, Dewan Kampung Tradisi (155), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun (147), SK Binjal (90) dan Masjid Al Ikhsan Changkat Setol (23).
“Bagi dua lagi PPS iaitu Dewan Kodiang dan Dewan Felda Batu 8, jumlah mangsa masih dalam bancian,” katanya.
Katanya, di Kulim, PPS SK Permatang Tok Dik menempatkan seramai 161 mangsa, manakala Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang seramai 166 orang.
“PPS Surau Keda Naga Lilit ditutup pada pukul 6 petang tadi,” ujarnya.
Sementara itu, empat sungai mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Sintok di UUM Sintok, Kubang Pasu; Sungai Sari di Kilang Gula Padang Terap, Padang Terap; Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang (F2), Pendang dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu. – KOSMO! ONLINE














