Kem badminton dilanda krisis untuk menempatkan pemain perseorangan yang mampu menjadi jeneral pasukan. Gambar hiasan

Krisis perseorangan lelaki makin parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS era Datuk Seri Lee Chong Wei, krisis perseorangan lelaki badminton negara makin jelas kelihatan di kala saingan Piala Thomas 2026 semakin hampir untuk berlangsung April tahun depan.

Malaysia kini masih tercari-cari siapakah yang mampu menjadi jeneral di tengah gelanggang terutama bagi menghadapi kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas dan Piala Sudirman.

Memang kita memiliki pemain seperti Lee Zii Jia, namun harapan menggunung diletakkan ke atas bahunya dilihat terlalu berat selain prestasinya yang terumbang-ambing dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.

Selain itu, masalah kecederaan yang dihadapi Zii Jia sehingga terpaksa melupakan sebahagian besar kempen musim ini meletakkan Malaysia dalam keadaan tersepit.

Benar, kita memiliki pemain-pemain lain seperti Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Ng Tze Yong, namun tidak keterlaluan jika dikatakan standard mereka masih jauh dengan Zii Jia, apatah lagi Chong Wei.

Dengan prestasi tidak menentu dipamerkan Jun Hao dan Justin selain Tze Yong yang masih belum pulih daripada kecederaan menyebabkan Malaysia terus sukar memburu gelaran berprestij di peringkat antarabangsa.

Justeru, ia meletakkan Malaysia dalam keadaan sukar bagi menghadapi cabaran pada saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark kerana memerlukan gandingan mantap perseorangan dan beregu.

Kita tidak risau dalam acara beregu lelaki kerana Malaysia memiliki tiga gandingan yang menghuni kelompok lima terbaik dunia selain sentiasa mempamerkan aksi konsisten setiap kali masuk ke gelanggang.

Apa yang merisaukan sekarang adalah dalam acara perseorangan lelaki yang mana Jun Hao merupakan pemain No.1 negara ketika ini, tetapi sudah tersingkir sebanyak 12 kali di pusingan pertama musim ini.

Bekas pemain No.1 dunia, Muhammad Roslin Hashim menganggap pencapaian pemain-pemain perseorangan lelaki negara cukup mengecewakan biarpun diberikan pelbagai bentuk sokongan serta fasiliti.

“Bila prestasi tidak menentu dan sering tewas pusingan pertama, itu bukan malang, tetapi masalah pemain sendiri. Kita tidak harap mereka juara setiap kejohanan, namun sekurang-kurangnya ada peningkatan.

“Nak kata apa lagi yang tidak cukup? Fasiliti sudah ada, jurulatih terbaik (Kenneth Jonassen) juga sudah ada. Yang tinggal sekarang cuma kemahuan daripada pemain itu sendiri,” katanya.

Bagi penulis, kita boleh menguji kemampuan pemain-pemain sedia ada menjelang temasya Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Thailand bulan depan memandangkan setiap negara menyenaraikan skuad terkuat ke temasya dwitahunan itu.

Sementara itu, Jonassen yang merupakan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM) sudah pun memberi gambaran akan melakukan perubahan drastik dalam masa terdekat bagi menaikkan semula martabat perseorangan lelaki negara.

“Akan ada perubahan yang bakal dibuat selepas ini, tetapi saya akan umumkan selepas ini. Saya faham kemahuan penyokong tetapi percayalah, pemain dan jurulatih lebih kecewa dengan situasi sekarang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN