LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca optimis pasukan itu sedia mengharungi ‘badai’ terbesar musim ini dengan memburu kemenangan ke atas Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Blues kembali berada dalam prestasi terbaik selepas melakar kemenangan ke atas Burnley dalam aksi domestik minggu lalu sekali gus melebarkan rekod lima perlawanan tanpa tewas ketika ini.
Namun, minggu ini bakal menjadi cabaran sebenar Chelsea apabila dijadualkan bertemu The Catalan sebelum menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal di laman sendiri.
Menurut Maresca, barisan pemain tidak perlu gentar dengan status gergasi yang dimiliki oleh pasukan Barcelona sekiranya memberi tumpuan penuh sepanjang perlawanan.
“Saya yakin kita dapat meriah keputusan positif ketika bertemu Barcelona. Kita ada kelebihan beraksi di laman sendiri dan sudah tentu rekod tanpa tewas ketika ini dapat diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Maresca turut menyeru agar peminat bersabar apabila Delap masih gagal menjaringkan sebarang gol pada kempen UCL dan EPL musim ini.
“Apa yang penting, Delap bekerja keras di atas padang dan saya tidak risau jika dia masih belum mendapat jaringan kerana ia akan tiba tidak lama lagi,” katanya. – AGENSI















