KUALA LUMPUR – Beberapa kenderaan dihempap pokok tumbang dalam kejadian berhampiran Stesen Transir Aliran Ringan (LRT) Bangsar, di sini hari ini.
Menerusi perkongsian di media sosial, kejadian dipercayai berlaku pagi tadi di Jalan Ang Seng.
Berdasarkan foto yang dimuat naik, kelihatan beberapa kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan turut terjejas dihempap pokok.
Bagaimanapun, jumlah kenderaan terlibat dan tahap kerosakan belum dapat dikenal pasti.
Kosmo! sedang berusaha mendapatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur bagi mengesahkan kejadian. – KOSMO! ONLINE















