KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sedang mengesan saksi kejadian membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Range Rover yang dipandu secara berbahaya di Lebuh Raya Sungai Besi menghala ke arah Taman Naga Emas, di sini, kelmarin.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya kini sedang mengesan dua individu yang berada dalam kenderaan termasuk penunggang motosikal yang merakam kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan dan kita sedang mengesan saksi yang berada dalam kenderaan serta penunggang motosikal.
“Penunggang motosikal itu diperlukan sebagai saksi yang melihat pemandu berkenaan memandu dalam keadaan berbahaya kerana dia merakam video berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd. Zamzuri berkata, pemandu kenderaan itu tidak direman untuk kes trafik, namun telah ditahan di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas disahkan positif dadah jenis ketamin, amphetamine dan methamphetamine.
Semalam media melaporkan, lelaki yang ditahan kerana memandu dalam keadaan berbahaya di Lebuh Raya Sungai Besi menghala di sini, didapati positif tiga jenis dadah.
Bagaimanapun, hasil ujian Evidential Breath Analyzer (EBA) yang dilakukan adalah negatif dan mendapati bacaan kandungan alkohol pemandu terbabit adalah 0 milogram (mg) dalam 100 milimeter (ml).
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, polis membuka siasatan berhubung video tular memaparkan sebuah kereta dipandu secara berbahaya dengan tayar belakang kanan dalam keadaan pecah dan hancur.
Mohd. Zamzuri dilaporkan berkata, hasil semakan pihaknya mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi dan pemandu terbabit telah hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada pukul 10.30 pagi semalam, bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE















