ALOR SETAR – Sekurang-kurangnya tiga kampung di Changlun menjadi lokasi terbaharu dilanda banjir di negeri ini ekoran hujan lebat yang berterusan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi berkata, lokasi yang terjejas adalah Kampung Nangmah, Kampung Masjid dan Kampung Paya Nongmi.
Sementara itu, di Kulim, seramai 388 mangsa daripada 118 keluarga berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik menempatkan seramai 175 mangsa diikuti Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang (169) dan Surau Keda Naga Lilit (44).
Sembilan kampung yang terjejas adalah Kampung Sungai Seluang Atas, Kampung Sungai Seluang Bawah, Kampung Bukit Sarang Ayam, Kampung Siam, Kampung Titi Tok Aris, Kampung Paya Serdang, Kampung Batu 7 3/4 Padang Serai, Kampung Balik Bukit dan Kampung Naga Lilit. – KOSMO! ONLINE















