PETALING JAYA – Hujan lebat sejak beberapa hari lalu selain tempias daripada banjir besar di selatan Thailand menyebabkan lima negeri khususnya di Pantai Timur dan Utara mula dilanda banjir musim tengkujuh.
Lima negeri yang kini berdepan banjir gelombang pertama ialah Kelantan dan Terengganu di Pantai Timur, manakala negeri yang terjejas di Utara Semenanjung ialah Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Setakat pukul 5.30 petang semalam, seramai 7,650 mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan Kelantan paling terjejas dengan jumlah 7,040 mangsa.
Di Kelantan, Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Mohd. Farid Ishak berkata, antara jajahan yang terjejas ialah Bachok, Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Puteh.
Katanya, setakat ini hujan masih berterusan melibatkan semua jajahan kecuali Gua Musang, manakala jumlah aset telah digerakkan melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Kita sentiasa bersiap sedia kerana hujan masih berterusan dan dijangka lebih ramai penduduk yang terjejas banjir.
“Operasi menyelamat mangsa untuk ke PPS berterusan memandangkan keadaan cuaca tidak menentu,” katanya.















