fbpx
IMAN kini menguruskan kerjaya seni Malique (kiri).

“Malique teringin tengok konsert, lama tak keluar rumah”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Tanda tanya terus berlegar dalam kalangan peminat apabila figura penuh misteri, Malique, memuat naik foto suasana Stadium Hoki Bukit Jalil dalam Instagram hingga mencetuskan spekulasi kemunculannya pada konsert GenKRU The Finale: One More Time, malam tadi.

Menurut penganjur dan pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, hasrat Malique untuk hadir ke konsert sebenarnya sudah disuarakan namun keputusan akhir bergantung pada tahap kesihatannya serta kesediaan tampil di khalayak selepas bertahun-tahun menjauh.

“Saya selalu berbual dengan Malique. Dia cakap teringin nak tengok konsert sebab dah lama tak keluar rumah.

“Kebetulan saya ada tiket konsert KRU, jadi dia minta izin nak kongsi dan bantu promosikan di Instagram,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah Iman, tindakan Malique mempromosikan konsert melalui Instagram turut mengejutkan ramai kerana platform itu baharu kembali digunakan penyanyi rap tersebut selepas sekian lama menyepi.

Mengulas spekulasi kehadiran Malique, Iman bagaimanapun memilih untuk tidak bertanya lanjut bagi mengelakkan tumpuan berlebihan terhadap artis itu.

“Dia ada cakap insya-Allah kalau lapang dan yakin, dia akan turun malam konsert.

“Saya pesan jangan beritahu saya pun. Kalau nak datang, datang sahaja.

“Sampai petang Sabtu dia maklumkan tak berapa sihat, jadi saya serahkan pada dia. Kalau tak turun, saya faham,” ujarnya pada sidang media usai konsert, di sini, malam tadi.

Bercerita mengenai hubungan profesional mereka, Iman mengakui sudah lama menguruskan kerjaya Malique, namun menegaskan akaun Instagram artis itu tetap dikendalikan sendiri tanpa campur tangannya.

“Mungkin ramai dah tahu, sekarang saya uruskan kerjaya Malique.

“Dalam Instagram pun ada nama saya, tetapi saya bukan admin. Dia urus sendiri akaun tersebut.

“Sebenarnya banyak benda dia mampu lakukan, cuma hidupnya kini penuh privasi. Rasanya sudah 18 tahun dia tak muncul secara terbuka,” jelasnya.

Kata Imam, kali terakhir dia melihat Malique di pentas adalah sewaktu persembahan Too Phat pada 2007 sebelum pasangan duo hip hop itu bergerak secara solo.

Terdahulu, tular foto dua tiket konsert GenKRU The Finale yang dimuat naik oleh Malique, sekali gus membuatkan peminat teruja dan berharap penyanyi hip hop legenda itu akan tampil mengejut pada malam konsert mahupun berkongsi pentas bersama KRU. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI