GEORGE TOWN – Pasangan suami isteri ditemui selamat selepas hampir dua jam tersesat di Bukit Astro Rock, Tanjung Bungah di sini, malam tadi.
Mangsa, Mohamad Nazrin Basir, 34, dan Zati Nazirah Yusuf, 29, ditemukan dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan, kira-kira pukul 8.59 malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan berpandukan koordinat lokasi yang dikongsikan mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.
“Kami turut menerima bantuan daripada pasukan polis (PDRM) yang berada di lokasi dan hasil pencarian di kawasan berbukit, pasukan berjaya menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat.
“Pasangan suami isteri itu ditemukan pada ketinggian kira-kira 186 meter dari aras laut pada pukul 8.59 malam, iaitu hampir setengah jam mereka dilaporkan sesat,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, seramai enam anggota termasuk penyelia dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal terlibat dalam operasi tersebut.
Justeru, beliau menasihati orang awam khususnya para pendaki supaya menyemak terlebih dahulu keadaan cuaca terkini sebelum menjalankan sebarang bentuk aktiviti pendakian.
Terdahulu, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang menerima maklumat berhubung dua individu dilaporkan sesat di Bukit Astro Rock pada pukul 7.08 malam tadi. -KOSMO! ONLINE















