PETALING JAYA – Wanita Malaysia yang tular selepas terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand memaklumkan bahawa dia dan keluarganya sudah menerima bantuan keperluan asas mencukupi.
Menerusi hantaran di muat naik Lily Suraini di Facebook, wanita itu turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan susu, lampin pakai buang dan makanan hasil keprihatinan pelbagai pihak.
“Assalamualaikum semua terima kasih atas bantuan. Kami dah dapat bantuan susu lampin dan makanan. Terima kasih banyak kepada hamba Allah yang sangat ramai membantu kami. Tak dapat nak sebut sebab ramai. Saya pun dah dapat mengecas telefon dah,” katanya.
Dalam masa sama, Lily memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul susulan perkongsiannya sebelum ini sehingga mengundang pelbagai reaksi orang ramai di Malaysia dan Thailand.
“Saya Lily Suraini memohon maaf atas segala kesulitan ini dan saya tak jangka perkara ni berlaku.
“Saya memohon maaf kepada seluruh ‘page’ Malaysia dan Thailand dan orang-orang pelancongan yang ditekan-tekan oleh netizen untuk membantu saya,” ujarnya.
Sementara itu, Lily mengakui berdepan kecaman termasuk tuduhan sebagai penipu dan mencari pengikut di media sosial, namun tetap memilih untuk memohon maaf dan menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.
“Ramai yang maki saya sebab menyusahkan orang, kata saya scammer mencari pengikut.. saya mohon maaf atas segalanya dan saya tak sangka seramai ini akan kongsi status saya.
“Saya akan berhenti untuk kemaskini apa-apa dan menungu di sini sehinga semuanya baik dan dapat balik ke Malaysia. Saya mohon untuk semua kongsi status ni dan kes tutup,” katanya lagi.
Terdahulu, Lily sekeluarga dilaporkan terperangkap di sebuah hotel di Hatyai selepas daerah berkenaan dilanda banjir besar semalam akibat hujan berterusan.
Menerusi hantaran di Facebook, dia meminta bantuan kedutaan dan orang ramai termasuk untuk mendapatkan bekalan susu serta lampin pakai buang dua anaknya yang berusia dua dan empat tahun.
Dia dan keluarganya terperangkap dalam hotel selepas bekalan elektrik terpadam dan bateri telefon juga hampir habis.
Terdahulu, Konsul General Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menasihatkan agar rakyat Malaysia menangguhkan dahulu perjalanan ke Selatan Thailand termasuk Hatyai susulan keadaan hujan dan banjir yang semakin memburuk di beberapa kawasan ketika ini.
Katanya, hujan lebat sejak semasa menyebabkan ada rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa hotel di sekitar Hatyai.- KOSMO! ONLINE














