fbpx
Anggota bomba memadam kebakaran di bangunan SK Baling, hari ini.

Empat kelas, pejabat SK Baling musnah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Kebakaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Baling di sini pagi tadi mengakibatkan empat kelas dan sebuah pejabat musnah.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Faizal Sulaiman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 10.46 pagi.

Menurutnya, kejadian disedari orang awam yang kemudian melaporkannya kepada balai bomba sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling bergegas ke lokasi tersebut.

“Operasi turut dibantu jentera dari BBP Pengkalan Hulu, Perak; BBP Sik serta enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran membabitkan 24 anggota keseluruhan. Kebakaran berlaku di tingkat dua bangunan sekolah dua tingkat yang melibatkan empat kelas dan sebuah pejabat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, anggaran awal tahap kemusnahan bagi pejabat adalah 90 peratus manakala 40 peratus bagi setiap kelas dan kejadian tidak melibatkan mangsa.

“Anggota berdepan cabaran ketika operasi pemadaman apabila angin bertiup agak kuat menyebabkan api marak dengan cepat. Terdapat juga litar pintas daripada arus elektrik yang masih mengalir menyebabkan anggota penyelamat terpaksa berhati-hati ketika operasi pemadaman,” ujarnya.

Tambahnya, kebakaran dipercayai bermula dari bilik pejabat dan ketika kejadian terdapat seorang kakitangan sekolah sempat menyelamatkan diri.

“Tiada mangsa dalam kejadian ini dan anggaran kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN