fbpx
PELBAGAI aktiviti menarik yang tersedia di Karnival Zakat Selangor 2025 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.

Karnival Zakat Selangor 2025 kembali, 1,500 peluang pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjemput orang ramai hadir memeriahkan Karnival Zakat Selangor 2025 dari 27 hingga 29 November ini di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.

Karnival yang dibuka dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam itu diisi pelbagai pengisian menarik, merangkumi reruai pameran interaktif, program komuniti serta aktiviti keluarga sebagai inisiatif LZS untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan zakat dan mengeratkan hubungan bersama masyarakat dalam suasana yang santai dan inklusif.

Lebih 150 pempamer daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, industri dan usahawan tempatan turut serta, membolehkan pengunjung meneroka pelbagai program, perkhidmatan dan inisiatif yang diketengahkan sepanjang tiga hari penganjuran.

Tumpuan utama ialah Karnival i-Kerjaya yang menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan daripada 20 majikan merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan, perdagangan, automotif serta makanan dan minuman.

Menurut LZS dalam satu kenyataan, inisiatif tersebut terbuka kepada semua pencari kerja dengan keutamaan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf berdaftar bagi membantu mereka memperoleh peluang kerjaya yang lebih stabil dan bersesuaian.

“Karnival Zakat Selangor 2025 turut menampilkan pelbagai tarikan untuk seisi keluarga antaranya sukaneka rakyat, Zakat Run, serta zon E-Sports dan VR Spot yang menawarkan pengalaman digital ringkas dan menyeronokkan.

“Pengunjung juga boleh menikmati Jualan Rahmah dan Food Festival, selain peluang memenangi hadiah melalui cabutan bertuah yang diadakan setiap hari.

“Bagi mereka yang ingin menimba ilmu dan motivasi, Forum Perdana akan mengetengahkan perkongsian berkaitan kehidupan dan kekeluargaan, manakala kemunculan maskot popular kanak-kanak Omar & Hana pasti menambah keceriaan,” katanya.

Masuk adalah percuma dan maklumat lanjut boleh didapati di media sosial rasmi LZS di Facebook, Instagram dan TikTok. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI