SHAH ALAM – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memulakan siasatan menyeluruh berhubung insiden runtuhan struktur sementara ‘steel canopy’ di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, arahan memberhentikan kerja serta-merta telah dikeluarkan bermula 19 November lalu.
Katanya, langkah itu dibuat sehingga punca kejadian itu dikenalpasti dan aspek keselamatan ditambah baik serta terjamin.
“Ia bukan dibawah Jabatan Kerja Raya (JKR) semata-mata CIDB telah menjalankan siasatan menyeluruh di bawah seksyen 34C Akta 520.
“Saya difahamkan CIDB telah mengeluarkan arahan supaya kerja-kerja pembinaan di sekitar tapak isiden itu diberhentikan serta-merta pada 19 November,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Beliau berkata, CIDB juga akan mengambil langkah tegas kepada kontraktor sekiranya wujud kecuaian sehingga menyebabkan struktur sementara itu runtuh.
“Memang kita boleh terima kerisauan rakyat ataupun pengguna jalan di situ. Sebab itu kita nak pastikan CIDB mengambil langkah yang tegas kepada kontraktor.
“Prosedur operasi standard itu memang ada. Kalau ada pelanggaran memang CIDB pantau,” tegasnya.
Kosmo! kelmarin melaporkan, seorang pemandu kereta berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaikinya dihempap runtuhan struktur sementara binaan ECRL di MRR2.
Pemandu kereta berusia 44 tahun itu bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dalam kejadian kira-kira pukul 1.47 tengah hari.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada perlanggaran jentera skylift semasa kerja pemeriksaan ketebalan cat.
Malah, kerja berisiko tinggi tersebut telah dijalankan tanpa kebenaran bertulis (permit kerja) daripada kontraktor utama, China Communication Construction Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE















