PETALING JAYA – Umur pengantin lelaki dan pengantin perempuan paling tua direkodkan pada tahun lalu masing-masing 92 dan 91 tahun, menurut laporan Perangkaan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, umur penengah bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan pada tahu lalu masing-masing kekal tidak berubah pada 29 dan 27 tahun.
Menurutnya, perkahwinan tertinggi direkodkan dalam kalangan kumpulan umur 25 hingga 29 tahun bagi pengantin lelaki dan perempuan.
“Bagi tempoh 2018 hingga 2024, umur penengah perkahwinan bagi perempuan meningkat daripada 26 kepada 27 tahun.
“Ini menjadi antara faktor menyumbang kepada peningkatan purata umur ibu pada kelahiran hidup pertama kepada 28.3 tahun pada 2024 berbanding 27.8 tahun bagi tempoh yang sama (Perangkaan Penting, Malaysia, 2025).
“Keadaan ini mengakibatkan tempoh reproduktif wanita menjadi lebih pendek dan menyumbang kepada penurunan Kadar Kesuburan Jumlah kepada 1.6 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun pada 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada tahun 2024, 7.6 peratus daripada jumlah perkahwinan adalah perkahwinan di antara pengantin yang berbeza kumpulan etnik.
“Bilangan perkahwinan antara etnik menurun 53.7 peratus kepada 5,445 daripada 11,751 (2023).
“Perkahwinan antara etnik dalam kalangan orang Islam adalah 4.0 peratus, manakala perkahwinan antara etnik dalam kalangan orang bukan Islam adalah 17.5 peratus,” katanya.
Sementara itu, laporan Perangkaan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, Malaysia 2025 turut membentangkan Kadar Perkahwinan Am (GMR) bagi pengantin
lelaki menurun kepada 37.6 (2024) daripada 38.3 (2023) bagi setiap 1,000 penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang belum berkahwin.
GMR pengantin perempuan turut merekodkan penurunan kepada 40.2 (2024) daripada 40.6 (2023) bagi setiap 1,000 penduduk perempuan berumur 16 tahun dan lebih yang belum berkahwin.
Selari dengan penurunan bilangan perkahwinan orang Islam, GMR bagi pengantin lelaki Islam dan pengantin perempuan Islam turut menurun masing-masing kepada 43.8 dan 46.5 pada 2024 daripada 45.8 dan 48.3 pada 2023.
Bagi orang bukan Islam, GMR pengantin lelaki dan pengantin perempuan meningkat masing-masing kepada 27.5 dan 29.6 pada 2024 daripada 26.0 dan 27.8 pada 2023. – KOSMO! ONLINE















