ALOR SETAR – Seorang pemilik kilang memproses makanan ditahan susulan penemuan sepucuk pistol, kelopak dan kelongsong peluru di premisnya di daerah Kuala Muda, minggu lalu.
Suspek lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai membekalkan senjata api tersebut kepada pekerja asing yang bekerja di kilang tersebut.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas asrama pekerja kira-kira pukul 12.45 tengah malam, Selasa lalu dan menahan dua lelaki warga India, Bangladesh (10) dan Myanmar (5). “Pemeriksaan di dalam bilik salah seorang lelaki warga India menjumpai satu kelopak peluru tanpa peluru dan dua butir kelongsong peluru.
“Dua hari kemudian, suspek membawa polis ke pejabat kilang sebelum menemukan beg plastik yang mengandungi sepucuk pistol berjenama Sig Sauer dan satu kelopak peluru tanpa peluru,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Kata beliau, seterusnya pada Sabtu lalu, polis menangkap seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang juga pemilik kilang berkenaan di sebuah pangsapuri di Langkawi.
“Suspek dipercayai membekalkan senjata api terbabit kepada lelaki warga India yang ditahan sebelum itu. Dia memiliki tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes penipuan, ugutan dan bunuh,” ujarnya.
Menurutnya, semakan mendapati kilang itu pernah diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 19 November lalu berhubung penggunaan logo halal tidak sah.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 kerana memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata dan amunisi tanpa permit, dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE















