SHAH ALAM – Pengawal keselamatan warga Nepal yang disiasat kerana meliwat seekor kucing sebelum ini, disambung reman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen.
Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay anak Embol berkata, siasatan mendapati suspek 33 tahun tidak mempunyai permit namun pasportnya masih sah dan telah bekerja di pangsapuri itu selama dua bulan.
“Suspek yang masih bujang itu disambung reman Imigresen selama 14 hari. Lelaki itu telah tinggal di negara ini sejak enam tahun lalu. Permit kerja tiada namun pasportnya masih sah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan bahana mabuk mendorong seorang pengawal keselamatan warga Nepal bertindak luar perikemanusian apabila meliwat seekor kucing sebelum mencampaknya dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, Sabtu lalu.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika seorang wanita bersama suaminya
baharu tiba di kediamannya di pangsapuri.
Pasangan suami isteri itu melihat suspek dalam keadaan bogel dipercayai sedang meliwat seekor kucing sebelum ditegur perlakuan tidak bermoral itu.
Suspek kemudiannya telah bertindak mencampak kucing itu dari tingkat empat pangsapuri itu dan insiden itu berjaya dirakam pengadu. – KOSMO! ONLINE














