KUALA LUMPUR – Unsur nadir bumi (REE) tidak boleh dieksport ke mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat (AS) sekiranya tiada kelulusan daripada kerajaan negeri.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kelulusan itu perlu meskipun kerajaan sebelum ini telah menandatangani perjanjian perdagangan dengan AS baru-baru ini.
Malah katanya, negara ‘Uncle Sam’ itu juga juga perlu melalui pelbagai proses yang memerlukan persetujuan kerajaan negeri sekiranya ingin melabur dalam industri REE di negara ini.
“Siapa nak datang melabur boleh datang, tetapi dia (pelabur) perlu melalui proses yang kita nak. Kalau berurusan dengan Kerajaan Persekutuan sahaja tidak cukup.
“Sebab rizab ini (REE) semua ada dalam (kawasan) kerajaan negeri. Kerajaan negeri juga bertanggungjawab bersama-sama Kerajaan Persekutuan. Pertama kalau nak datang buat (lombong) mesti tahu kat mana (kawasan), bukan boleh buat (lombong) sebarangan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH – Pasir Gudang) yang tidak mahu isu itu mengulangi penjajahan Inggeris terhadap bijih timah selepas Perjanjian Pangkor 1874, susulan Perjanjian Perdagangan Malaysia-AS.
Johari berkata, meskipun perjanjian telah ditandatangani, tetapi masih banyak lagi proses seterusnya bagi pihak kerajaan untuk mempertahankan hak sebagai negara yang berdaulat. – KOSMO! ONLINE















