KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya tepati ramalan apabila menamatkan aksi antarabangsa tanpa tewas selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Nepal dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027 sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad negara kendalian Peter Cklamovski membariskan kesebelasan terbaik dengan Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid dan Dion Cools mengetuai jentera serangan.
Namun, malam Arif Aiman hanya bertahan sembilan minit apabila dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dan digantikan dengan kapten Selangor FC, Faisal Halim.
Ketiadaan Arif Aiman menyaksikan jentera serangan negara agak kendur pada babak pertama dengan beberapa peluang keemasan yang dimiliki Cools berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.
Bersambung pada babak kedua, Harimau Malaya tampil lebih garang apabila berjaya meraih gol pembukaan hasil penyudah Faisal selepas menerima hantaran Safawi pada minit ke-56.
Pengendali negara, Peter Cklamovski memasukkan Paulo Josue dan Quentin Cheng bagi menambah bisa di jentera serangan dan minit ke-80, Stuart Wilkin hampir menambah gol kedua sebaliknya sepakannya dari luar kotak penalti serong ke sebelah kiri gawang Nepal.
Seterusnya 14, 243 penonton di stadium terus kecewa apabila beberapa lagi peluang terbaik yang dicipta gagal disudahkan dengan sempurna oleh pemain negara.
Memasuki minit terakhir permainan, Nepal hilang seorang pemain apabila Laken Limbu menerima kad kuning kedua dan Malaysia dihadiahkan sepakan penalti.
Bagaimanapun, Josue gagal menyempurnakannya peluang keemasan itu apabila sepakannya melambung tinggi melepasi palang gol Nepal.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia masih gah mendahului carta Kumpulan F selepas mengutip 15 mata daripada lima aksi yang diharungi pada tahun ini.
Juara kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Asia 2027 tetapi status Malaysia masih ‘bergantung tidak bertali’ selepas dihukum FIFA susulan isu pemalsuan dokumen.
Difahamkan, hukuman buat skuad Harimau Malaya akan diumumkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas selesai proses di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). – KOSMO! ONLINE















