PROSES penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada Sabtu lalu menyaksikan 596 pencalonan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Seramai 1,784,843 pengundi berdaftar akan membuat keputusan memangkah calon pilihan mereka pada 29 November ini. Mereka akan memilih calon daripada 24 parti yang bertanding selain calon-calon Bebas yang menawarkan diri untuk diangkat sebagai wakil rakyat.
Parti atau gabungan parti-parti yang menang 37 kerusi akan layak membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.
Kelihatan di atas kertas, sistem demokrasi bagi memilih wakil kepada rakyat dan wakil bagi membentuk sebuah kerajaan adalah mudah. Namun hakikatnya tidak seindah itu.
Percaturan sebenar begitu kompleks dan mencabar. Apa lagi dalam keadaan negeri dan negara yang berbilang kaum, agama dan budaya. Parti-parti yang dibentuk pula rata-rata berasaskan kepada suku kaum. Lebih teruk satu kaum terpecah pula kepada beberapa parti.
Proses memilih parti gandingan, parti pakatan atau parti gabungan mengambil masa yang panjang. Rundingan, tolak ansur dan akhirnya persetujuan biasanya dengan mengambil jalan tengah bersifat menang-menang.
Itu belum lagi soal pemilihan calon-calon terbaik daripada parti masing-masing. Maka wujudlah pelbagai drama berupa kejutan, gembira, sedih, marah, rajuk dan protes.
Apa pun yang telah berlaku, calon-calon yang disahkan bertanding kini masuk ke fasa berkempen bagi memastikan mampu menjadi pilihan pengundi pada hari ‘memangkah’.
Setiap orang mempunyai peluang untuk menang dan tentu sekali jentera parti, strategi dan gerak kerja kempen akan menjadi penentu kepada peluang seseorang calon.
Semoga PRN-17 kali ini menjadi medan terbaik bagi calon berkempen secara sihat untuk meyakinkan pengundi. Bukan dengan cara kotor menanam kebencian kepada calon lain, menyebar fitnah, mengadu domba, ugutan, sentimen perkauman, melakukan serangan peribadi dan paling buruk menggunakan wang ringgit untuk membeli undi.
Jika itulah calon yang menang, maka terlantiklah seorang wakil kepada rakyat yang kotor. Wakil-wakil yang kotor ini kemudian membentuk sebuah kerajaan yang tidak mungkin akan bertukar menjadi bersih begitu sahaja.
Proses ini jika tidak dihentikan akan berterusan dari satu generasi kepada generasi lain.
Ayuh pengundi, jadikan proses dan tanggungjawab kali ini dengan memilih pemimpin yang benar-benar bersih. Pilihlah wakil yang berintegriti dan amanah, tidak terlibat rasuah atau salah guna kuasa, telus dalam tindakan dan keputusan serta berani menolak kepentingan peribadi demi rakyat.
Pangkahlah calon yang jujur dan konsisten dalam mengotakan janji pilihan raya serta tidak berubah pendirian semata-mata kerana tekanan politik.
Pastikan calon itu berkeupayaan berkhidmat, responsif bila diperlukan, komited dan bukan muncul ketika musim pilihan raya.
Calon itu juga perlu seorang pengetahuan, berpendidikan, faham isu ekonomi, pendidikan, kos sara hidup, kesihatan dan prihatin dengan hal ehwal tempatan.
Mereka juga mesti mampu berkhidmat untuk semua, bukan penyokong dan kumpulan tertentu sahaja serta berdaya tinggi dalam melayan kerenah rakyat.
Calon-calon ini adalah pemimpin – bukan perosak masa depan.














