SHAH ALAM – Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC ke-79 sebulat suara bersetuju dengan usul keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, bagaimanapun sebarang penyertaan terhadap mana-mana gabungan parti baharu akan ditentukan kemudian.
Katanya, mandat penuh bagi melaksanakan segala langkah dan urusan rasmi berkaitan diberikan kepada beliau dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
“Usul itu dibawa oleh semua MIC peringkat negeri. Akar umbi telah ambil keputusan hari ini di mana parti MIC harus bergantung menjadi alternatif baharu
“Jadi, keputusan rasmi akan dikeluarkan CWC dalam masa terdekat. Selepas ini akan berbincang dengan pihak-pihak yang boleh (bagi gabungan baru MIC),” katanya pada sidang akhbar selepas AGM MIC ke-79 hari ini.
Vigneswaran menegaskan, tindakan MIC tersebut bukan untuk bermain politik, sebaliknya hasrat dalam membuat setiap keputusan perkongsian kuasa mesti berlandaskan maruah dan prinsip.
“Kita just fed-up.. Kita ada maruah dan tiada kekangan kes jenayah. Kami tak tikam sesiapa.
“Yang paling penting, kita dalam dilema disebabkan Perdana Menteri tidak membuat sebarang salah. Itu pasal kita teguh dalam memberikan sokongan kepada beliau (Perdana Menteri) untuk dua tahun (sebelum Pilihan Raya Umum),” katanya.
Beliau turut memaklumkan ada bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kelmarin berhubung kemelut MIC dalam BN.
“Memang PMX nak juga tahu apa yang berlaku. Dan kami telah berikan gambar sebenarnya.
“Kekangan kami bukan datang dari PMX dan PH tetapi kita (MIC) berada dalam BN,” tegasnya.
Ketika ditanya sama ada bertemu dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk berbincang keluar daripada BN, Vigneswaran memaklumkan tiada pertemuan berkaitannya.
“Tiada,” ringkas katanya. – KOSMO! ONLINE















