Pelajar kewartawanan USM bergambar bersama sebahagian sukarelawan GSS di Desa Brajan, Yogyakarta, Indonesia.

10 siswa USM jejak ilmu di tanah Yogyakarta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh CASILDA VISHALEE AHSEERVATHAM

PERTAMA kali menjejakkan kaki di Indonesia, ia amat mengujakan.

Begitulah perasaan 10 pelajar kewartawanan dari Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), bersama pensyarah pengiring, Prof. Madya Dr. Nik Norma Nik Hasan setibanya di bumi Yogyakarta, Indonesia baru-baru ini.

Yogyakarta menjadi ‘dewan kuliah’ terbuka bagi mereka dari 28 September hingga 3 Oktober lalu untuk menimba pengalaman di kota yang terkenal dengan budaya dan keramahan penduduknya.

Perjalanan ini bukan sekadar program mobiliti antarabangsa, tetapi sebuah usaha untuk berkongsi dan mendokumentasikan pengalaman melalui penceritaan yang penuh makna.

Usaha tersebut dilaksanakan melalui program libat sama komuniti bertajuk Empowering B40 Students through Outbound Mobility for Climate and Cultural Resilience Storytelling.

Matlamatnya bersifat serampang dua mata iaitu memberi peluang kepada pelajar kewartawanan untuk belajar di luar bilik kuliah, sambil membantu komuniti di Desa Brajan, Yogyakarta melestarikan program pengurusan sampah mereka.

Inisiatif ini dijayakan bersama oleh Pusat Pengajian Komunikasi, USM dan Fakultas Sains Sosial dan Politik (FISIPOL), Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY).

Program ini turut didanai oleh Mobility Matching Fund 2025 (MOMAF2025) melalui Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC), USM.

Pada hari itu, aktiviti dialog di FISIPOL, UMY telah bermula seawal 8 pagi. Dua sesi perbincangan diadakan pada pagi itu.

Pertama ialah diskusi silang budaya antara Malaysia dan Indonesia bertajuk Journalistic Storytelling for Community Well-Being and Sustainability.

Kedua-dua panel, Dr. Nik Norma dari USM dan Dr. Fajar Junaedi dari UMY sependapat bahawa peranan media sebagai watchdog masih relevan, terutama dalam isu alam sekitar dan kelestarian sejagat.

Sesi ini diikuti oleh dialog antara pelajar USM dan UMY bertajuk How Can Young Journalists Foster Community Well-Being and Share Their Voices Using Social Media?’.

Topik yang dibentangkan oleh tiga pelajar USM dalam sesi ini merangkumi semangat perpaduan rakyat Malaysia melalui acara Keretapi Sarong, kesejahteraan komuniti Orang Asal serta kesedaran awam tentang isu buli siber.

Pelajar USM dan UMY bergambar bersama selepas sesi dialog.

Hujahan tentang kemampuan wartawan muda menjadi pemangkin perpaduan masyarakat dan bertindak sebagai suara awam mendapat sambutan hangat daripada lebih 100 hadirin yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah UMY.

Walaupun datang daripada budaya dan latar geografi yang berbeza, pertukaran pendapat antara pelajar USM dan UMY berlangsung dengan penuh makna.

Cabaran yang dihadapi wartawan muda di kedua-dua negara sebenarnya sama, iaitu menyuarakan kebenaran dan menunaikan tanggungjawab bersama.

Nilai sebenar pembelajaran di luar bilik kuliah jelas terserlah melalui interaksi ini.

Dalam lawatan ke Yogyakarta tersebut, para pelajar juga menjalankan aktiviti libat sama komuniti selama tiga hari di Desa Brajan terletak hanya 10 minit dari kampus UMY.

Suasananya tenang walaupun dihuni oleh kira-kira 2,500 penduduk.

Menariknya, desa ini mengamalkan pendekatan sedekah dalam pengurusan sampahnya.

Gerakan Sadaqah Sampah (GSS) dianggotai oleh penduduk desa yang mengamalkan konsep kelestarian dalam menjaga alam sekitar dan kebajikan komuniti.

Pengasasnya, Ustaz Ananto Isworo menjelaskan bahawa inisiatif itu tercetus daripada rasa prihatin terhadap isu kebersihan dan kemiskinan di kawasan tersebut kira-kira dua dekad lalu.

Menurut Ustaz Ananto, GSS bertindak dengan cara para penduduk mengumpul sampah yang boleh dikitar semula, menjualnya dan menggunakan hasil jualan itu untuk membantu ibu tunggal, warga emas serta anak-anak miskin yang ingin bersekolah.

“Jika sampah tidak diasing, hanya satu pembayaran kecil yang diterima daripadanya, inilah strategi yang mesti difahami.

“Gerakan ini tidak mudah, ada pasang surut, namun, niat untuk membantu orang lain menjadi kekuatan yang terus menggerakkan langkah,” kata Uztaz Ananto.

Melalui sistem ini, botol plastik, tin dan kertas tidak lagi dianggap sebagai sampah dan bahan-bahan ini menjadi sumber rezeki.

Amalan menjaga alam sekitar seperti ini juga dilihat sebagai satu bentuk ibadah yang menekankan nilai kemanusiaan.

Namun kongsinya, inisiatif ini turut berdepan beberapa cabaran.

Antaranya, penyertaan penduduk kadangkala turun naik dan gerakan ini memerlukan sokongan luar untuk memastikan kelangsungannya.

Justeru berhubung hal ini, pelajar USM mengambil inisiatif mendokumentasikan proses pengurusan sisa, menemu bual sukarelawan tempatan dan menghasilkan video pendidikan serta promosi untuk GSS.

Idea ini kelihatan mudah, tetapi kesannya besar kerana ia membina rasa tanggungjawab dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Menariknya ialah nilai budaya Jawa seperti ‘gotong-royong’ dan rasa hormat terhadap alam turut diterapkan dalam usaha mereka mengekalkan gerakan komuniti ini.

Bagi kumpulan pelajar USM, inilah saat di mana teori yang dipelajari berubah menjadi pengalaman nyata.

Mereka bukan lagi sekadar pelajar universiti, tetapi turut belajar daripada penduduk Desa Brajan untuk menjadi pencerita tentang keunikan GSS kepada masyarakat.

Sepanjang berada di Desa Brajan, pelajar juga menganjurkan bengkel kewartawanan mudah alih untuk mengajar penduduk menggunakan telefon pintar bagi merakam dan menyunting video.

Melalui penceritaan digital tersebut, komuniti ini kini dapat menyuarakan harapan dan cabaran mereka dengan cara mereka sendiri.

Setiap malam sepanjang berada di bumi Yogyakarta, selesai sahaja semua aktiviti, pelajar akan berkumpul dalam bulatan untuk melakukan sesi refleksi.

Mereka berkongsi apa yang mereka pelajari pada hari tersebut.

Banyak kisah tentang kebaikan dan kerendahan hati masyarakat Brajan terhadap pelajar yang menyambut mereka seperti keluarga sendiri.

Sungguh menarik apabila apa yang bermula sebagai tugasan akademik telah bertukar menjadi pengalaman kehidupan sebenar bagi pelajar USM.

Satu pengajaran ditimba tentang empati, rasa hormat dan makna sebenar kewartawanan yang bukan sekadar melapor berita, tetapi menyentuh hati manusia.

Menjelang akhir minggu, saat mereka mengemas untuk pulang ke Malaysia, para pelajar sedar bahawa yang dibawa pulang bukan hanya cenderamata, tetapi juga pengalaman, kebijaksanaan dan semangat baharu untuk terus menulis dengan jiwa.

Program ini bakal menghasilkan enam video pendek, penceritaan digital serta kit libat sama komuniti untuk kegunaan awam.

Namun, kesan paling mendalam bukan terletak pada hasilnya, tetapi pada perubahan cara pelajar-pelajar muda ini memahami peranan mereka sebagai penghubung antara manusia serta menyampaikan kisah dengan hati dan nilai kemanusiaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN