SUNGAI BULOH – Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 9 bulan yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa daripada seorang wanita tempatan kira-kira pukul 1.13 pagi semalam.
Mohd Hafiz berkata, orang hilang (OH) dikenali sebagai Wan Adriana Qaisara Wan Azim, dilaporkan tiada di rumah sejak 13 November 2025 pada pukul 3 petang di Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh.
“OH berusia 15 tahun 9 bulan, memiliki ketinggian kira-kira 1.49 meter dan berkulit sawo matang. Ketika hilang, OH dipercayai memakai baju hitam, seluar hitam, tudung sarung hitam serta membawa beg galas berwarna biru muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, polis merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja terbabit untuk menghubungi balai polis berhampiran atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhamad Rais Azmi di talian 016-9495707. – KOSMO! ONLINE














