ALOR SETAR – “Kalau ikut kata hati, saya rasa ini takdir sebab saya tak pernah kenal Akmal sehingga masuk tingkatan tiga. Masa itu baru kami berkenalan.”
Demikian ujar Ahmad Mui’zz Abd. Wahab, 17, mengenai kemurahan hatinya dalam membantu rakan karib, Muhammad Akmal Mohamad Zaili, 19, yang merupakan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kehilangan penglihatan akibat glaukoma sejak berusia 11 tahun.
Ahmad Mui’zz berkata, dia tergerak hati untuk membantu Muhammad Akmal sejak tiga tahun lalu sehingga mereka bersahabat baik.
“Saya mudah simpati, jadi saya tergerak hati untuk membantunya dan sampai sekarang kami bersahabat baik. Jika ada kelas yang Muhammad Akmal tidak sempat sertai, dia akan memberikan sinopsis pembelajaran hari berkenaan.
“Saya ikhlas membantu Akmal dan tidak pernah menganggapnya sebagai beban,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik, di sini semalam.
Dalam pada itu, Muhammad Akmal berasa bersyukur kerana dikurniakan seorang rakan karib, Ahmad Mui’zz yang banyak membantunya dalam pembelajaran.
Dia dalam pada itu tidak pernah menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM dan dia melakukan persediaan lebih awal kerana rutin belajarnya jauh lebih mencabar berbanding rakan-rakan lain yang normal.
Anak nelayan dari Tanjung Dawai itu berkata, dia menggunakan kaedah rakaman audio untuk memahami setiap subjek dengan lebih mendalam.
“Persediaan saya untuk SPM, saya fokus empat subjek dulu iaitu Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Matematik. Dalam kelas saya akan merakam apa yang cikgu ajar dan apabila balik asrama, saya dengar semula untuk ulang kaji,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik, di sini semalam.
Katanya, dia akan mengulang kaji pelajaran di asrama antara pukul 3 hingga 4.30 petang sebelum menyambung semula pada waktu malam.
“Saya kena ulang banyak kali. Orang lain boleh tengok terus tetapi saya kena dengar, rakam dan ulang balik. Matematik pula saya banyak buat latihan dengan cikgu dan hafal langkah kiraan serta cara guna kalkulator.
“Pada peperiksaan percubaan SPM lalu, saya berjaya memperoleh 3A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam dan Sejarah dan saya menyasarkan keputusan 4A dalam peperiksaan sebenar nanti,” jelasnya yang bercita-cita menjadi seorang ustaz.
Pengetua SMK Tunku Abdul Malik, Faridah Derani berkata, pihak sekolah membuat persediaan rapi bagi membolehkan Akmal menduduki SPM selain berasakan Akmal telah bersedia sepenuhnya. -KOSMO! ONLINE














