KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya dalam kes saman terhadap pentadbir Edisi Siasat dan Edisi Khas berhubung penyebaran dan penerbitan 33 artikel memudaratkan.
Ia berikutan apabila suruhanjaya itu yang bertindak selaku plaintif berjaya mendapatkan penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi hari ini terhadap individu tidak dikenali (pentadbir saluran Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas) yang dinamakan selaku defendan pertama dan kedua tanpa melalui perbicaraan penuh.
Peguam Wong Guo Jin yang mewakili MCMC ketika ditemui, berkata Hakim Mahazan Mat Taib membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan MCMC selaku plaintif selepas pentadbir dua saluran edisi itu gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.
“Bagaimanapun, ganti rugi am dan ganti rugi teladan akan ditaksir kemudian oleh mahkamah,” katanya.
Dengan keputusan itu, mahkamah membenarkan permohonan MCMC untuk mendapatkan deklarasi bahawa kedua-dua defendan telah membenarkan atau memudahkan penggunaan saluran-saluran yang tersebut untuk menerbit dan mengedarkan kandungan-kandungan yang memudaratkan terhadap pihak-pihak yang terkilan di Malaysia.
Selain itu, mahkamah juga membenarkan injunksi larangan yang menghalang kedua-dua defendan atau ejen, pekerja dan sekutu mereka daripada terus mengucapkan, menulis, menyebarkan atau menerbit, menerbit semula atau mengedarkan kandungan-kandungan yang memudaratkan tersebut atau kata-kata yang membawa kesan yang sama atau maksud serupa atau berkaitan dengan kandungan – kandungan yang memudaratkan tersebut.
Sementara itu, Guo Jin turut memaklumkan bagi Telegram Messenger Inc. yang merupakan defendan ketiga dalam kes saman itu, mahkamah menetapkan 27 November ini bagi pengurusan kes untuk penghakiman ingkar itu.
Penghakiman ingkar ialah keputusan mahkamah yang diberikan secara automatik terhadap satu pihak apabila ia gagal mengambil langkah yang diwajibkan dalam prosiding, tanpa mahkamah perlu mendengar kes penuh.
Pada 21 Mei, MCMC telah memfailkan writ saman melalui firma guaman S.N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi, menamakan individu yang tidak dikenali (pentadbir saluran Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas) serta Telegram Messenger Inc. sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Berdasarkan writ saman, MCMC memohon pengisytiharan defendan pertama dan kedua telah membenarkan dan memudahkan penggunaan saluran-saluran tersebut untuk menerbitkan serta menyebarkan kandungan berbahaya terhadap pihak-pihak di Malaysia.
MCMC juga memohon pengisytiharan defendan ketiga (Telegram Messenger Inc.) telah membantu dan menyumbang kepada penyebaran kandungan tersebut kerana gagal memadamkan saluran-saluran itu apabila diperintahkan oleh undang-undang.
Pada 19 Jun, MCMC mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan tegas dengan memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, Edisi Siasat dan Edisi Khas.
MCMC menyatakan bahawa tindakan ini adalah yang pertama seumpamanya terhadap penyedia platform media sosial, terutamanya kerana Telegram memegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)]. – KOSMO! ONLINE















