fbpx
Sindiket pemerdagangan manusia semakin licik apabila menggunakan iklan kerja di TikTok dan Facebook dengan tawaran gaji lumayan. GAMBAR HIASAN

‘Tekan’ negara luar tutup pusat scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Isu rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia atas nama tawaran kerja bergaji lumayan di luar negara kembali menjadi tumpuan.

Semakain ramai mangsa dipaksa bekerja di pusat penipuan panggilan siber di Kemboja, Laos, Myanmar dan beberapa negara Asia Tenggara lain, sehingga ada yang terperangkap berbulan-bulan tanpa dapat diselamatkan.

Menurut laporan sejak 2021, Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) telah menyelamatkan kira-kira 400 rakyat Malaysia, manakala angka rasmi kerajaan menunjukkan sekitar 750 orang telah dibawa pulang setakat Februari lalu.

MHO menjadi tempat terakhir untuk mendapatkan pertolongan bagi menyelamatkan anak, suami atau saudara mereka.

Namun, di sebalik usaha itu, MHO turut berdepan kecaman apabila didakwa mengambil kesempatan ke atas mangsa dan keluarga dengan dituduh mengaut keuntungan daripada kos membawa pulang mangsa.

Menjawab dakwaan itu, Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, semua kos dimaklumkan kepada keluarga dan ia hanya melibatkan tiket penerbangan pulang dan kos logistik asas.

“Kami telus. Ia bukan soal keuntungan, tetapi untuk selamatkan nyawa,” katanya kepada Kosmo! sambil menjelaskan keluarga yang tidak mampu akan dibantu melalui dana NGO lain.

Katanya, sindiket semakin licik apabila menggunakan iklan kerja di TikTok dan Facebook untuk memancing anak muda dengan tawaran gaji RM8,000 hingga RM20,000 sebulan.

Setibanya di lokasi, pasport mangsa dirampas, mereka dikurung, dipaksa bekerja hingga 18 jam sehari dan didera jika enggan menurut arahan, menjadikan mereka buruh paksa dalam jenayah siber.

Hishamuddin berkata, pada awalnya kes mangsa dipandang sebagai jenayah komersial kerana mereka ‘bersetuju’ dengan tawaran kerja, menyebabkan usaha menyelamat menjadi sukar kerana dianggap pelaku, bukan mangsa.

Hanya selepas ia diklasifikasi sebagai jenayah pemerdagangan manusia rentas negara, barulah tekanan diplomatik boleh dilakukan.

MHO mengakui ia tidak bergerak solo, sebaliknya memaklumkan kepada polis sebelum menjalankan misi.

Namun, usaha menyelamat bukan penyelesaian mutlak kerana sindiket masih beroperasi, dan selagi pusat scam tidak ditutup, mangsa baharu akan terus muncul.

Hishamuddin berkata, Malaysia perlu menggunakan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN untuk menekan negara seperti Kemboja agar menutup pusat scam secara total, bukan sekadar operasi kecil yang bersifat sementara.

Beliau memberi contoh insiden di Phnom Penh apabila polis hanya menyelamatkan tiga mangsa dalam senarai diberi MHO, namun lebih 50 lagi ditinggalkan walaupun berada di lokasi sama.

“Mengapa tidak selamatkan semua sekali? Inilah masalah kita. Kita hanya boleh menyelamat tetapi tidak mampu tutup pusat itu,” katanya.

MHO turut menggesa kawalan lebih ketat di pintu keluar negara terhadap rakyat Malaysia yang melancong ke negara berisiko tanpa perancangan penginapan atau kewangan yang jelas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN